Pesara bomba sakit saraf dapat sumbangan NGO

Azizah (kanan) mengelap badan Jalani sambil diperhatikan Syed Othman (dua dari kiri) selepas menerima sumbangan katil daripada NGO Pertubuhan Kami Prihatin di Taman Air Biru, Pasir Gudang pada Khamis.
Azizah (kanan) mengelap badan Jalani sambil diperhatikan Syed Othman (dua dari kiri) selepas menerima sumbangan katil daripada NGO Pertubuhan Kami Prihatin di Taman Air Biru, Pasir Gudang pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang pesara bomba yang terlantar kerana sakit saraf mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jalani Saat, 54, yang tinggal di Taman Air Biru, di sini mendapat sebuah katil serbaguna sumbangan Pertubuhan Kami Prihatin bagi memudahkan isterinya, Azizah Khamis, 50, menjaganya.

Azizah berkata, dia menguruskan segala urusan dan keperluan harian suaminya yang tidak dapat bergerak akibat sakit tersebut selepas menghidapinya pada 26 November tahun lalu.

"Suami saya masih boleh bercakap dan makan makanan seperti bubur serta nasi dengan lauk berkuah selain perlukan susu sampingan. Sebahagian besar wang pencen dibelanjakan untuk membeli susu, pampers, vitamin dan tisu basah.

"Anak-anak saya turut berkongsi membantu membeli keperluan ayahnya kerana pencen suami tidak seberapa, hanya dapat separuh daripada gaji kerana pencen awal," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.

Jalani menerima sumbangan katil serbaguna dan barang keperluan harian disampaikan oleh Penasihat Pertubuhan Kami Prihatin merangkap Penyelia Pusat Aduan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah.

Azizah yang memiliki lima cahaya mata berusia 22 hingga 36 tahun berkata, Jalani pada mulanya terjatuh dari tangga dan pinggangnya terkena tombol pintu semasa membetulkan lampu di rumah.

Katanya, sebulan selepas itu pinggangnya sakit dan bernanah sebelum mendapat rawatan di Hospital Pakar KPJ pada Oktober tahun lalu dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru selama dua minggu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Jalani yang berkhidmat selama 25 tahun sebagai anggota bomba dan terakhir bertugas di Pasir Gudang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru selama lapan hari.

Dia yang berhenti kerja sebagai penyelia di sebuah kilang, di sini selepas Jalani sakit berkata, suaminya perlu menjalani rawatan susulan bertemu pakar tulang di HSA setiap dua bulan sekali.

Sementara itu, Syed Othman berkata, pihaknya terpanggil menghulurkan sumbangan selepas menyedari keperluan Jalani yang tidak mampu membeli katil tersebut yang fungsinya sama seperti katil pesakit di hospital berharga lebih RM3,000.

"Diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban Jalani dan isteri. Kita akan sentiasa lihat keperluan mereka dari masa ke masa termasuk menimbang untuk memberi kerusi roda. Jasa Jalani semasa bertugas sebagai anggota bomba besar terhadap masyarakat," katanya.

Kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berhubung dengan Azizah 012-7580285 atau menerusi akaun Maybank 101244160123 atas namanya.