X

Kindly register in order to view this article
!

Maqis lancar ‘tiada bulan tanpa serbuan’

Saiful Yazan Alwi. Foto: Rosli Talib
A
A

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) terus agresif menjalankan risikan dan serbuan susulan kejayaan melumpuhkan kegiatan kartel daging haram di Senai, Johor pada Disember lalu.

Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi berkata, Maqis menetapkan sasaran lebih besar dengan melancarkan operasi ‘tiada bulan tanpa serbuan’ bagi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) Maqis pada tahun 2021.

Malah menurutnya, Maqis sudah mengenal pasti lokasi-lokasi tempat penyimpanan dan penjualan kartel daging seperti di kawasan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kedah dan Kelantan sejak Januari.

“Pada bulan lalu, Maqis bersama agensi penguatkuasaan lain berjaya merampas 53 tan daging sejuk beku di Pelabuhan Klang, lebih kurang 61 tan ayam sejuk beku dirampas di sempadan Thailand yang cuba diseludup melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Sementara itu sebanyak 78 tan daging sejuk beku dirampas di Puchong pada awal Februari ini.

“Kejayaan ini diperoleh hasil daripada serbuan bersepadu yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa agensi penguat kuasa lain.

“Ini termasuk dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Saiful Yazan berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Maqis di Putrajaya pada Selasa.Sindiket lain cuba ambil alih

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan ada cubaan sindiket lain cuba mengambil alih kegiatan kartel daging haram di Senai, Johor setelah sindiket berkenaan ditumpaskan.

“Apa yang saya boleh katakan kegiatan kartel di Senai, Johor sudah lumpuh. Namun, saya tidak nafikan bahawa ada sindiket lain cuba untuk mengambil alih dan meneruskan kegiatan mereka,” katanya.

Ini kerana katanya, ia berpunca daripada faktor permintaan yang masih tinggi apatah lagi kegiatan haram sedemikian tidak melibatkan pembayaran cukai sekali gus memberi keuntungan besar kepada mereka.

“Selagi ada permintaan maka selagi itu akan ada aktiviti-aktiviti penyeludupan. Malah sempadan negara kita sangat luas. Sungai, laut apatah lagi sempadan di Sabah dan Sarawak.

“Justeru, kami amat berharap masyarakat, badan bukan kerajaan atau sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat untuk tampil dan salurkan kepada Maqis untuk tindakan risikan dan tangkapan,” katanya.

Saiful Yazan menegaskan Maqis sangat serius dalam usaha menumpaskan sindiket berkaitan pada setiap masa.

“Sasaran tertinggi Maqis adalah apabila pengguna dapat produk yang selamat tetapi kalau mereka merasakan produk digunakan itu tidak selamat maka kita akan dilihat gagal melaksanakan tugas,” tegasnya.

Kenal pasti modus operandi

Dalam pada itu katanya, banyak kejayaan diperoleh Maqis pada 2020 sebagai contoh 1,300 kes tangkapan dibuat dengan nilai dagangan melebihi RM100 juta di seluruh negara.

Katanya, mereka mengenal pasti tiga modus operandi yang digunakan.

“Pertama, pemalsuan dokumen. Kita ada satu kes di mana daging dibawa masuk dari New Zealand tetapi sijil kesihatan yang ditunjukkan seakan-akan asli.

“Bila kita periksa kuantiti dibawa itu adalah dalam jumlah agak besar, di situ memang agak meragukan. Pegawai ketika itu telah membuat semakan dengan agensi berkaitan kita di New Zealand sebelum mengesahkan sijil itu palsu.

“Ini terbongkar kerana sijil yang dikeluarkan oleh negara terbabit ada ciri-ciri keselamatan yang sukar dipalsukan,” katanya.

Modus operandi kedua pula katanya, Maqis mendapati ada pengeksport yang menjadikan pelabuhan negara ini sebagai transit sebelum mengedarkan barangan kepada ejen tertentuuntuk dibawa masuk ke dalam negara.

“Apaila transit, mereka tidak perlukan borang K1. Mereka reka hanya perlu sijil halal dan menyebabkan daging itu terlepas.

“Disebabkan itu dengan cadangan pindaan akta Maqis, kita dalam proses daftarkan setiap ejen di pelabuhan. Jadi selepas ini hanya yang berdaftar sahaja dibenarkan beroperasi di bawah pemantauan kita,” katanya.

Katanya, modus operandi seterusnya adalah dengan cara mengambil daging di Singapura di mana warga Malaysia akan masuk ke negara itu dengan menaiki kereta kononnya sebagai pelancong.“Bila sampai di sana, mereka singgah di premis daging untuk mengambil bekalan daging dalam jumlah muatan sekitar 60 kilogram (kg) hingga 70 kg.

“Ini terbukti apabila ada penahanan dibuat semasa pemeriksaan di pintu masuk di Johor. Daging ini ada sijil kesihatan ketika masuk ke Singapura tetapi tiada sijil halal kerana Singapura tidak mewajibkan keperluan halal untuk aktiviti import daging mereka,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pencapaian yang dilakarkan Maqis pada 2020, beliau berkata, statistik tahun lalu mencatatkan 1,300 kes dengan sitaan bernilai RM160 juta.

“Sasaran kita tahun itu (2020) bernilai RM121 juta tapi kita capai lebih dan ini bermaksud pegawai Maqis di lapangan dan pintu masuk sangat agresif dalam setiap tindakan.

“Saya mahu rakyat faham kita sentiasa laksana tugas bagi memastikan barangan makanan daging halal dan selamat digunakan masyarakat Islam dan rakyat Malaysia,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!