Mapim persoal premis judi kembali operasi, masjid disekat

Mohd Azmi
Mohd Azmi
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mempersoalkan tindakan kerajaan yang membenarkan pembukaan semula kasino dan pusat perjudian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid mohon agar keputusan itu dibatalkan kerana judi merupakan industri yang memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Menurutnya, keputusan kerajaan itu turut memberi persepsi negatif bahawa Perikatan Nasional (PN) lebih mengutamakan sektor perjudian berbanding keagamaan.

“Tanggapan masyarakat sekarang memberi gambaran seolah premis judi lebih diberi keutamaan berbanding masjid. Keputusan kerajaan itu sangat bertentangan dengan maqasid syariah dan ciri negara Islam,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Azmi berkata, ia juga kelihatan amat aneh apabila dilakukan oleh kerajaan yang berteraskan Melayu-Islam.

“Tatkala masyarakat Islam diingatkan faktor diturun bala daripada Tuhan akibat kemungkaran yang dihalalkan, kenapa kerajaan memberi mesej yang kontradik apabila industri judi boleh beroperasi, tetapi pada masa sama jemaah masjid dan surau dibataskan sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, adalah tidak sesuai ketika seluruh dunia dan rakyat bergelut untuk kesinambungan hidup dan mencari jalan mengatasi pandemik Covid-19, tiba-tiba kerajaan melayani permintaan industri judi untuk beroperasi semula.

“Kami bantah keputusan membenarkan premis judi dibuka semula. Sepatutnya dalam keadaan negara berdepan musibah Covid-19, kerajaan perlu merancang secara bertahap untuk menghapuskan industri judi dalam negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azmi berkata, alasan industri judi berlesen perlu diberi hak beroperasi tidak boleh diterima sama sekali.

“Kerajaan perlu tunjukkan tekad walaupun industri judi mengutip cukai yang tinggi, namun implikasi ekonomi, sosial serta budaya tidak membantu membina masyarakat berteraskan nilai dan budaya hidup murni dan sihat,” katanya.

Menurutnya, industri judi memberi kesan negatif kepada masyarakat dan mudaratnya jauh lebih besar berbanding manfaat.

“Sepatutnya usaha dilakukan untuk banteras industri judi sedikit demi sedikit. Ini bukan soal memilih sektor mana dibenarkan beroperasi semula atau ia perkhidmatan perlu atau tidak, persoalannya adalah industri ini membawa kesan negatif kepada masyarakat,” katanya.

Pada 16 Februari, syarikat pengendali kasino, Resort World Genting (Resort World), serta syarikat nombor ramalan mengumumkan mereka kembali beroperasi selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Pengumuman itu dibuat Resort World bersama syarikat Sports Toto, Magnum Bhd dan Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (Da Ma Cai) melalui media sosial serta laman web masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah persoal kerajaan benarkan kasino, pusat judi beroperasi