Ada rumah tapi hidup di jalanan

Gelandangan ditemui sedang tidur di Stesen Bas MBKT, Kuala Terengganu. Gambar kecil: Hanafiah Mat
Gelandangan ditemui sedang tidur di Stesen Bas MBKT, Kuala Terengganu. Gambar kecil: Hanafiah Mat
A
A
A

KUALA TERENGGANU – [LAPORAN KHAS] Dianggarkan lebih 35 gelandangan dikesan sering berkeliaran di beberapa lokasi di Terengganu terutama pusat bandar seperti bandaraya Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, biasanya tumpuan mereka adalah di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan kaki lima.

Bagaimanapun katanya, sebahagiannya tidak boleh digelar sebagai gelandangan kerana hasil siasatan mendapati mereka mempunyai rumah kediaman, kampung halaman dan ahli keluarga.

“Istilah gelandangan tidak boleh dipakai di sini kerana mereka sebenarnya ada rumah dan ada keluarga. Sudah dua tahun kita buat siasatan, senarai nama dan latar belakang mereka ada dalam rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mereka yang ada rumah bila kita hantar balik ke kampung, hanya bertahan sekejap saja lepas itu datang balik ke bandar, tidur di stesen bas dan kaki lima,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Hanafiah berkata, gelandangan berkenaan dikategorikan dalam tiga kumpulan iaitu mereka yang mempunyai rumah tapi mahu tinggal di stesen bas dan kaki lima, penagih dadah dan pesakit mental.

Katanya, walaupun masalah gelandangan di Terengganu bukan serius dan jumlahnya tidak ramai tapi kerajaan negeri melalui JKM sentiasa memantau golongan ini.

Antara tindakan yang diambil adalah menghantar pulang ke rumah masing-masing dan menempatkan individu tiada rumah di pusat kebajikan serta hospital bergantung kepada keadaan dan tahap kesihatan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Tapi walaupun diberi tempat tinggal selesa dan makanan di pusat kebajikan ini, mereka masih melarikan diri dan kembali di jalanan. Mereka tetap berkeliaran dan makan makanan diberi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Begitu juga dengan individu dihantar pulang, mereka akan kembali dan saya difahamkan ini berlaku kerana keluarga tidak hiraukan mereka.

"Jadi saya harap keluarga berikan perhatian supaya mereka gembira tinggal di rumah, bukan jalanan.

“Kebanyakan mereka pun bukanlah muda, rata-rata umur sudah melebihi 50 tahun kecuali penagih dadah berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an,” katanya.