Bukan kerana menteri tidak cemerlang: Mujahid

Dr Mujahid Yusof
Dr Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi bukan bermakna prestasi menteri tidak memuaskan seperti didakwa Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, dakwaan sebegitu adalah pandangan peribadi tokoh wartawan tersebut.

Menurutnya, penubuhan majlis itu bertujuan untuk memperkukuhkan kelemahan yang ada dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

“Itu pandangan A Kadir Jasin tapi kefahaman saya, yang duduk dalam majlis itu semua menteri-menteri. Ia lebih kepada nak memperkukuhkan lagi apa kelemahan yang ada.

“Bukan menandakan seolah-olah mereka tidak berperanan. Majlis Tindakan Ekonomi ini adalah sesuatu yang across (meliputi) kementerian,” katanya selepas program Bicara Minda Sinar Harian, di sini, hari ini.

Tambah beliau, penubuhan majlis itu dijangka mempunyai mekanisme hang lebih luas dalam menjayakan agenda ekonomi negara.

“Sebab itu dalam jawatankuasanya ada menteri-menteri Kabinet, bukan melambangkan menteri tidak perform,” ujarnya.

A Kadir dalam blog beliau mengatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan majlis tersebut kerana beliau tidak gembira atau puas hati dengan prestasi anggota Kabinet.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, realitinya adalah selepas lebih lapan bulan mentadbir negara, kerajaan PH belum berjaya menampakkan hasil yang boleh dirasakan oleh rakyat jelata.

"Kita tidak perlu berdolak-dalik bahawa semakin ramai rakyat jelata mula kecewa dengan prestasi kerajaan PH, termasuk dengan anggota Kabinet dan perkhidmatan awam,” tulis beliau.