X

Kindly register in order to view this article
!

'Sampai bila kena angkut air?'

Penduduk Taman Seri Jerai, Gurun memohon agar pihak kementerian beri perhatian terhadap masalah air yang kritikal sejak dua minggu lalu.
A
A

SUNGAI PETANI - Penduduk Taman Seri Jerai I dan II, Gurun, Kedah memohon perhatian Kementerian Pembangunan Luar Bandar menangani isu air yang menjejaskan lebih 200 rumah sejak dua minggu lalu.

Penduduk Hong Kim Lan, 36, mendakwa, aduan telah dikemukakan kepada pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA), namun penyelesaian yang dapat diberikan hanyalah untuk jangka pendek dengan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki bergerak.

Menurutnya, penduduk terpaksa menadah air di hadapan rumah dan keadaan itu menyukarkan mereka majoritinya merupakan warga emas dan golongan berusia.

Hong Kim Lan
Hong Kim Lan

“SADA ada maklumkan bahawa sekarang musim kemarau dan peningkatan penggunaan air yang tinggi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat tetapi tidak munasabah berikutan kemarau berlaku setiap tahun.

“Saya telah menghubungi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri untuk mendapatkan pencerahan sama ada ia dimasukkan dalam senarai keutamaan negeri untuk diusulkan.

“Maklum balas yang diberikan ialah kementerian sudah memperhalusi dan memperuntukkan sejumlah wang kepada kerajaan negeri untuk urusan pengambilan balik tanah dan kerja-kerja naik taraf bekalan air dilakukan untuk menangani masalah ini.

“Bagaimanapun sehingga kini, masalah berkenaan masih berlanjutan walaupun sudah mendapatkan kelulusan peruntukan di peringkat kementerian,” dakwanya.

Penduduk dimaklumkan bahawa musim kemarau serta penggunaan tinggi ketika ini menjejaskan bekalan air di Taman Seri Jerai, Gurun, Kedah.
Penduduk dimaklumkan bahawa musim kemarau serta penggunaan tinggi ketika ini menjejaskan bekalan air di Taman Seri Jerai, Gurun, Kedah.

Seorang lagi penduduk, Masri Baharom, 65, berkata, ketiadaan air menjejaskan aktiviti harian terutama untuk menyucikan diri sebelum menunaikan solat bagi umat Islam.

“Bayangkan dalam tempoh dua minggu kami perlu mengangkut air dan penghantaran dilakukan dua hari sekali. Itu pun tidak mencukupi terutama membabitkan rumah yang mempunyai bilangan keluarga yang ramai, terpaksa berjimat guna air,” katanya.

Katanya, aduan berhubung masalah air di Taman Seri Jerai telah dikemukakan penduduk melalui surat kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar supaya masalah dapat diatasi segera.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Seri Bayu 2, Abd Latif Yaakob (empat, kiri) bersama penduduk menunjukkan ketiadaan bekalan air di Surau Attaqwa, Taman Seri Bayu 2, Sungai Lalang, Kedah.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Seri Bayu 2, Abd Latif Yaakob (empat, kiri) bersama penduduk menunjukkan ketiadaan bekalan air di Surau Attaqwa, Taman Seri Bayu 2, Sungai Lalang, Kedah.

Berlarutan sejak dua minggu

Sementara itu, di Sungai Lalang, kira-kira 600 rumah di Taman Seri Bayu 2 dan 200 rumah di Bukit Bayu turut terjejas akibat masalah sama.

Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga Taman Seri Bayu 2, Rosli Harun turut mempersoalkan sampai bila penduduk perlu mengangkut air kerana sudah penat berbuat demikian sejak dua minggu lalu.

Dia yang baru sahaja menjalani pembedahan apendiks minggu lalu selain isteri yang turut menjalani pembedahan di bahagian rahim berdepan masalah kesihatan serta tidak dapat melakukan kerja-kerja berat mengangkut air.

Rosli Harun
Rosli Harun

Bilal Surau Attaqwa Taman Seri Bayu 2, Marzli Jahamil pula berkata, ketiadaan air menyukarkan penduduk untuk berwuduk selain aktiviti harian terganggu.

“Sudah dua minggu begini, kalau ada air pun, hanya lalu paip luar rumah. Setiap hari terpaksa menadah dan angkut,” katanya.

Peniaga, Mohd Jefri Johari, 53, berkata, kebiasaannya air mengalir melalui paip luar rumah kira-kira jam 10 pagi hingga 3 petang dan ketika itu penduduk mula melaksanakan kerja-kerja mencuci sebelum bekalan terputus semula dan berterusan sehingga dua minggu.

Mohd Jefri
Mohd Jefri

“Saya dan isteri kedua-duanya bekerja, apabila balik kerja, bekalan air sudah tiada.

“Kami tiada pilihan dan terpaksa berhenti berniaga untuk sementara supaya dapat menadah air. Jika keadaan berterusan selama dua minggu akan menjejaskan ekonomi dan sumber kewangan keluarga,” jelasnya.

Mansor Awang, 50, pula mendakwa, tindakan SADA mencatu air di perumahan itu tidak adil kerana penduduk bersebelahan iaitu Taman Seri Bayu 1 yang hanya berjarak kira-kira 500 meter langsung tidak terjejas.

“Kami mohon SADA mengambil tindakan segera kerana sampai bila kami mahu mengangkut air


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!