JKM selamatkan 68 gelandangan di Negeri Sembilan

Nicole (tengah) semasa menyampaikan makanan kepada gelandangan di bandar raya Seremban baru-baru ini.
Nicole (tengah) semasa menyampaikan makanan kepada gelandangan di bandar raya Seremban baru-baru ini.
A
A
A

SEREMBAN - [LAPORAN KHAS] Seramai 68 gelandangan diselamatkan di Negeri Sembilan sepanjang tempoh tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga, dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 10 individu telah diserahkan kepada waris atau keluarga masing-masing.

"Baki 58 orang lagi ditempatkan di institusi jagaan berdasarkan siasatan dan kesesuaian susulan waris atau keluarganya tidak dapat dikesan.

"Bagaimanapun, jumlah ini menunjukkan pengurangan berbanding tahun lalu iaitu seramai 130 individu diselamatkan melibatkan 92 orang lelaki dan 38 wanita," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada pekerjaan dan tempat tinggal antara sebab golongan berkenaan terpaksa tidur di kaki lima, hentian bas selain merayau-rayau tanpa hala tuju.

"Golongan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang; antaranya warga emas, penagih dadah, penganggur, pesakit mental, pesakit melarat, orang yang bekerja tetapi tidak berumah dan seumpamanya.

"Mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan dari segi fizikal dan emosi, namun bukan semua gelandangan berada di bawah tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Tambah beliau, keputusan tersebut bergantung kepada siasatan dan penilaian lanjut yang dilakukan JKM.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi kes bukan warganegara akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), penagih dadah pula dirujuk kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pemegang kad pelarian kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Kes tanpa identiti pula akan berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, kes yang mempunyai keluarga akan diserahkan kepada keluarganya dan diberi amaran, manakala kes kanak-kanak diserahkan kepada pelindung JKM untuk tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Secara keseluruhannya katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu golongan berkenaan kerana mereka juga berhak hidup selesa dan gembira seperti orang lain.

Nicole juga memberitahu, beliau bersama Skuad Covid Buster Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang turut menyampaikan sumbangan makanan kepada gelandangan yang ada di bandaraya Seremban bagi memastikan golongan itu terus terbela.