Trend tayar kangkang, ekzos bising jadi perhatian

Tidak salah mahu ubah suai kereta untuk cantik tetapi jika membahayakan diri dan orang lain, mungkin kita kena fikir balik.
Tidak salah mahu ubah suai kereta untuk cantik tetapi jika membahayakan diri dan orang lain, mungkin kita kena fikir balik.
A
A
A

ANTARA nak cantik tapi berbahaya atau cantik tapi selamat. Mana satu pilihan kita?

Denda RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan boleh dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan tayar atau rim terkeluar daripada badan kereta atau 'hellaflush'.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini menjelaskan, trend mengubah suai kereta menggunakan tayar 'hellaflush' semakin menjadi ikutan dalam kalangan segelintir pemilik kenderaan di Malaysia.

Menurut PDRM, pengubahsuaian itu boleh menyebabkan pemanduan terjejas akibat daripada kegagalan sistem keselamatan dan brek yang tidak berfungsi dengan cekap, sekali gus merisikokan nyawa pemandu serta pengguna jalan raya lain.

Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan 138 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 170/59 iaitu ubah suai kenderaan tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Malah jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan.

Tidak salah mahu ubah suai kereta untuk cantik tetapi jika membahayakan diri dan orang lain, mungkin kita kena fikir balik apakah hobi itu akhirnya akan jatuh kepada pembaziran kerana selepas keluar belanja beribu-ribu ringgit, lepas itu disaman pula.

Trend tayar kereta kangkang atau lebih sinonim dengan panggilan ‘stance’ lebih sesuai untuk kereta yang terlibat dalam pertandingan auto show sahaja.

Artikel Berkaitan:

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga menunjukkan perubahan tayar yang tidak disedari boleh mengundang bahaya, tayar pecah kompilasi kenderaan dipandu pada kelajuan tinggi.

Masih lagi berkisar mengenai kenderaan, terbaharu pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) setiap ekzos (penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan baik.

Isu ekzos itu sebenarnya sudah lama dan dalam setiap operasi melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ataupun JSPT bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) pasti ada pemilik motosikal disaman dan ada sesetengah kes terpaksa disita kerana membuat pengubahsuaian haram.

Namun, apabila ia diketengahkan di media sehari dua ini, ternyata ia mendapat kecaman netizen yang mungkin tidak faham antara minat, hobi dan undang-undang.