Siti Masitah diperdaya suspek, dedah penduduk kampung

Solihah Abdullah
Solihah Abdullah
A
A
A

PEKAN - Kehilangan Siti Masitah akhirnya terjawab apabila mayat seorang kanak-kanak ditemui oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan setelah hilang sejak 30 Januari lalu.

Mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan tragis di dalam ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Kemahang.

Lebih mengecewakan ia dipercayai dilakukan oleh individu yang dikenali keluarga mangsa malah dianggap sebagai adik sendiri oleh ibu kepada Siti Masitah.

Tindakan kejam suspek turut menjadi tanda tanya kepada keluarga terdekat dan penduduk kampung kerana anak ketiga daripada empat beradik itu tidak mudah rapat dengan orang melainkan keluarga sendiri.

Namun menurut seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Ahmad, 40, Siti Masitah dipercayai telah ditipu dengan diperdaya menggunakan nama ibunya yang membuatkan kanak-kanak itu mengikut lelaki tersebut.

"Siti Masitah merupakan seorang anak yang baik serta sangat rajin mengaji dan sangat rapat dengan ibunya. Dia tidak akan sebarangan mengikut orang lain melainkan ibu atau ayahnya.

"Saya yakin Siti Masitah telah diperdaya oleh suspek bahawa ibunya menunggunya di pondok bas di jalan besar memandangkan ada penduduk yang nampak Siti Masitah di pondok bas bersama Assum pada waktu petang hari kejadian sebelum dia hilang.

"Sebab Siti Masitah ini kalau diberitahu ibunya ada di sesuatu tempat... dia akan terus percaya dan pergi ke tempat di mana ibunya dikatakan berada," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Kemahang di sini, semalam.

Artikel Berkaitan:

Ahmad berkata, perkara ini bukan sahaja diyakini oleh dirinya malah sudah menjadi buah mulut orang kampung kerana suspek merupakan individu yang sangat rapat dan dianggap seperti adik sendiri oleh keluarga kanak-kanak tersebut

Menurutnya, dia turut berharap agar pihak polis dapat memberi hukuman yang seadilnya terhadap suspek supaya perkara ini dapat memberi jawapan positif kepada keluarga mangsa.

"Baju yang dipakai dan basikal yang ditunggang oleh Siti Masitah itu baru sahaja dibelikan ibunya. Saya tahu Solihah pastinya sedih dan sukar menerima ujian ini. Namun saya harap mereka sekeluarga tabah menerimanya," katanya.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Solihah Abdullah, 35 berkata basikal dan baju yang dipakai oleh anaknya itulah permintaan terakhir arwah sebelum pergi meninggalkannya selamanya.

"Bila Baby (nama panggilan Siti Masitah) dah tiada saya masih teringat-ingat sewaktu dia merayu supaya saya membeli basikal untuknya dan saya ambil keputusan untuk membelinya dan membuat kejutan membelikannya baju baharu.

"Namun tidak sangka itulah permintaan dan barang terakhir saya beli untuk baby dan sekarang ini dia telah meninggalkan saya buat selamanya,"katanya.

Sementara itu, Solihah berharap agar pihak polis segera mengeluarkan keputusan DNA anaknya supaya dia dapat menguruskan pengebumian anaknya dalam masa yang terdekat.

"Anak saya sudah sememangnya saya ingin kebumikan dengam segera namun saya reda dengan siasatan pihak polis dan berharap agar polis dapat segera menyelesaikan siasatan supaya saya tenang untuk menguruskan jenazah anak saya,"katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak dibunuh kejam, organ dalaman hilang

ARTIKEL BERKAITAN: Bunuh budak: Seorang lelaki warga asing ditahan

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Masitah dibunuh kerana dendam

ARTIKEL BERKAITAN: 'Pernah melutut, merayu agar suspek pulangkan Siti Masitah'

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Siti Masitah tak simpan dendam terhadap suspek

ARTIKEL BERKAITAN: Lambaian terakhir Siti Masitah