Kritik jangan sampai perlekeh

Seorang penyampai radio mencetuskan kontroversi apabila mentertawa dan mempersendakan sebutan bahasa Inggeris guru Sains di saluran DidikTV.
Seorang penyampai radio mencetuskan kontroversi apabila mentertawa dan mempersendakan sebutan bahasa Inggeris guru Sains di saluran DidikTV.
A
A
A

BARU-BARU ini, ruangan sosial media kecoh mengenai isu kemampuan seorang menteri di Malaysia bertutur dalam bahasa Inggeris.

Rata-rata netizen meninggalkan komen negatif terhadap ucapan dalam bahasa Inggeris oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika sesi ke-59 Suruhanjaya Pembangunan Sosial (CSocD59) United Nations (UN) yang berlangsung secara maya pada 11 Februari lalu.

Menurut netizen, sebagai seorang menteri, Ahli Parlimen Titiwangsa itu seharusnya menguasai dan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa kedua utama di Malaysia dengan baik.

Selain itu, ada juga yang tampil memperbetulkan cara sebutan sebenar perkataan yang dituturkan Rina itu, antaranya pengacara dan penyanyi popular, Adibah Noor.

Tidak kurang juga, segelintir pihak yang berbeza pendapat mengenai isu tersebut kerana berpandangan ia adalah perkara biasa bagi mereka yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris kerana sudah pasti bertutur dengan slanga tersendiri.

Belum reda dengan insiden tersebut, media sosial sekali lagi dipanaskan dengan isu sama apabila terdapat netizen yang bukan sahaja mengkritik, bahkan secara terbuka mentertawakan seorang guru subjek Sains sekolah rendah yang mengajar menerusi televisyen di DidikTV.

Dua insiden itu menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dibincangkan secara adil berhubung kedudukan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pertama, perkara yang perlu diakui adalah kenyataan bahawa bahasa utama masyarakat di Malaysia adalah bahasa ibunda kaum masing-masing iaitu bahasa Melayu, Cina dan Tamil.

Artikel Berkaitan:

Justeru, adalah mustahil sekiranya kita memikirkan bahawa semua rakyat Malaysia perlu fasih berbahasa Inggeris seperti rakyat di negara Barat.

Perkara yang paling penting untuk dinilai dalam isu itu adalah persoalan sama ada penyampaian seseorang itu mencapai objektif yang mahu disampaikan oleh penutur tersebut.

Perlu ditegaskan, bahasa hanyalah alat yang digunakan oleh seseorang dalam proses penyampaian maklumat. Tidak kira apa pun jenis bahasa yang digunakan, perkara paling penting perlu diambil kira adalah maksud yang hendak disampaikan.

Kebanyakan komen netizen terhadap isu berkenaan dilihat tertumpu kepada cara sebutan individu yang memberikan ucapan tersebut.

Cara teguran netizen bagaimanapun agak negatif, seakan merendah-rendahkan mereka yang mahu dikritik itu. Perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana ia akan menakutkan individu lain yang sedang berusaha untuk menguasai bahasa tersebut.

Terbuka

Berbalik pada kritikan netizen terhadap Rina, penulis faham beliau sebagai seorang menteri yang seharusnya terbuka dengan kritikan.

Bagaimanapun, dalam hal tersebut, penulis berpandangan masyarakat seharusnya lebih berhemah dalam kritikan yang diberikan khususnya di ruang awam seperti sosial media.

Kita perlu faham, bukan semua rakyat Malaysia memiliki keistimewaan untuk dilahirkan dan memiliki akses bagi mempelajari serta mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris dengan sempurna.

Turut memberikan komen terhadap isu tersebut ialah pelumba basikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang berkongsi pengalamannya bertutur dan mempelajari bahasa Inggeris ketika berada di Australia menerusi kenyataan di Facebook beliau pada 20 Februari lalu.

Atlet kelahiran Terengganu itu berkata, rakyat Malaysia yang berada di Australia lebih cenderung memperlekeh dan mentertawakan beliau yang ketika itu belum menguasai bahasa Inggeris dengan baik, sedangkan mat saleh di sana lebih positif dalam membantu memperbetulkan pertuturannya.

Sehubungan itu, penulis berharap agar rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi netizen yang menggunakan media sosial supaya lebih berhemah dan positif memberikan sebarang pandangan mahupun kritikan terhadap sesuatu isu yang timbul.

Sekiranya mahu menyampaikan sebarang kritikan ataupun pandangan, lebih baik sekiranya netizen memberikan sesuatu yang lebih membina dan seterusnya dapat memberi manfaat kepada semua pengguna di media sosial,

Tidak guna jika kita hendak tunjuk pandai tetapi dengan kepandaian kita itu, ia tidaklah memberikan manfaat kepada masyarakat, sebaliknya hanya meninggalkan kesan buruk terhadap masyarakat.

* Muhammad Amnan Hibrahim ialah Wartawan Sinar Harian