Penduduk Myanmar boikot junta tentera

Ramai penduduk di Myanmar menentang rampasan kuasa tentera yang dilakukan pada 1 Februari lalu bagi menggulingkan kerajaan awam di Myanmar. - Foto AFP
Ramai penduduk di Myanmar menentang rampasan kuasa tentera yang dilakukan pada 1 Februari lalu bagi menggulingkan kerajaan awam di Myanmar. - Foto AFP
A
A
A

YANGON - Myanmar kini berdepan dengan tindakan boikot yang dilakukan oleh kakitangan awam, doktor, guru dan anggota bomba bagi memberikan tekanan supaya pihak tentera menyerahkan kembali kuasa kepada kerajaan awam.

Pihak tentera yang melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu terhadap kerajaan awam juga berdepan dengan satu lagi desakan yang meminta rakyat memboikot Bank Myawaddy yang menyebabkan ramai pelanggannya bertindak mengeluarkan wang daripada institusi perbankan itu.

Bank Myawaddy merupakan antara cabang perniagaan milik tentera manakala pihak tentera dilaporkan berjanji untuk memerintah hanya selama setahun dan mengembalikan semula pemerintahan kepada kerajaan awam yang dipilih melalui pilihan raya umum.

Menurut akhbar Myanmar Times, penduduk dilaporkan menganjurkan kempen 'Berhenti Beli Bisnes Junta' sebagai tanda sokongan terhadap demokrasi sekali gus menentang pemerintahan tentera yang turut dikenali sebagai Tatmadaw di negara tersebut.

Pada 1 Februari lalu, pihak tentera melancarkan rampasan kuasa terhadap kerajaan awam sekali gus menahan ikon demokrasi dan bekas penasihat kerajaan yang popular di negara tersebut, Aung San Suu Kyi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tentera Myanmar tahan Aung San Suu Kyi

Rampasan kuasa di Myanmar tak dapat dielak: Panglima tentera

Beberapa pemimpin Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi turut ditahan antaranya bekas Presiden negara itu, Win Myint selepas pihak tentera menuduh terdapat penipuan dalam pilihan raya umum negara tersebut pada November tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pilihan raya itu, parti NLD mengulangi kejayaan pada pilihan raya tahun 2015 apabila menang besar dalam pilihan raya 2020 sekali gus boleh membentuk sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat.

Pihak tentera negara itu telah terlibat dalam banyak cabang perniagaan dalam pelbagai sektor antaranya makanan dan minuman, industri hiburan, pembekal perkhidmatan internet, bank, syarikat kewangan, hospital, syarikat minyak, pasar raya borong serta perniagaan runcit.

Menurut akhbar Myanmar Times, sejumlah selebriti di negara berkenaan turut mengumumkan tidak lagi mahu bekerjasama dengan perbadanan-perbadanan yang mempunyai kaitan dengan pihak tentera.

Tunjuk perasaan yang diadakan di seluruh negara juga mendesak para pekerja termasuk pekerja bank untuk tidak bekerja sebagai usaha menjejaskan cabang perniagaan yang dikuasai oleh pihak tentera.

Di pusat perniagaan Myanmar iaitu bandar Yangon, kebanyakan bank swasta masih lagi ditutup manakala bank-bank milik kerajaan masih dibuka.

Menurut AFP, Bank Myawaddy yang merupakan bank domestik keenam terbesar di Myanmar kini hanya membenarkan 200 pelanggan di setiap cawangan banknya dan hanya 500,000 kyat (RM1,434.28) dibenarkan keluar pada setiap hari.

Sejumlah pelanggan dilaporkan sanggup tinggal di hotel berdekatan untuk beratur pada awal pagi bagi mengeluarkan wang di bank tersebut sehinggakan ada seorang guru, Myint Myint sanggup berbaris pada setiap hari selama seminggu tetapi sehingga Rabu lalu dia masih gagal untuk mengeluarkan wang.

Keadaan yang tidak menentu di Myanmar juga mendorong ramai orang mahu mengeluarkan wang kerana bimbang mereka akan mengalami masalah kekurangan bekalan wang tunai, kata seorang ahli perniagaan, Tun Naing yang berusia 43 tahun kepada AFP.

Dia antara individu yang sanggup beratur pada setiap hari sejak minggu lalu untuk mengeluarkan wang sebanyak enam juta kyat (RM17,211.33) dari akaun banknya.

Gambar fail menunjukkan sejumlah orang menunggu pada awal pagi untuk mengeluarkan wang menerusi mesin juruwang automatik di Bank Myawaddy, Yangon. - AFP
Gambar fail menunjukkan sejumlah orang menunggu pada awal pagi untuk mengeluarkan wang menerusi mesin juruwang automatik di Bank Myawaddy, Yangon. - AFP

Seorang pelanggan bank berkenaan, Daw Than Than Myint, 53, dari kawasan perbandaran Latha memberitahu portal berita The Irrawady: "Kami berasa bimbang sejak ia (Bank Myawaddy) dimiliki oleh tentera. Kami tidak percayakan mereka lagi. Itulah sebab kami memutuskan untuk mengeluarkan wang dengan segera."

Baru-baru ini, dua penunjuk perasaan mati ditembak di bandar Mandalay oleh pasukan keselamatan yang sedang menyuraikan protes antirampasan kuasa oleh pihak tentera.

Ekonomi negara itu kini telah pun terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 dan perintah berkurung manakala keadaan di negara tersebut dijangka menjadi lebih buruk ekoran pertubuhan Pergerakan Tidak Mematuhi Arahan meminta kakitangan kerajaan memulaukan kerja.

Jeneral-jeneral tentera Myanmar kini pula berdepan dengan sekatan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS), Britain, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) serta syarikat-syarikat perniagaan yang besar turut mengalami masalah reputasi terjejas termasuk kemerosotan pelaburan langsung asing ke negara tersebut ekoran rampasan kuasa berkenaan.

Menurut portal berita Strait Times Singapura, selain jurutera dan pekerja kereta api, pekerja kesihatan adalah paling popular melakukan boikot.

Sehingga Rabu lalu, Myanmar merekodkan jumlah sebanyak 142,000 kes dengan lebih 3,000 orang telah meninggal dunia akibat Covid-19.

Portal itu juga melaporkan, doktor-doktor yang memboikot junta tentera masih terlibat dengan kes-kes penting di klinik-klinik swasta yang mereka berkhidmat secara sukarela. - Agensi