Status FC hanya atas kertas

Zulakbal Abd Karim
Zulakbal Abd Karim
A
A
A

KEBANYAKAN pasukan Liga Malaysia (Liga-M) belum mencapai standard sebagai sebuah kelab bola sepak (FC) kerana masih ada yang berdepan dengan masalah pengurusan dan kewangan masing-masing.

Malah, masalah yang membelenggu itu terutamanya dalam soal kewangan dilihat bakal memberi impak lebih buruk kepada pasukan terbabit dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berkata, sikap tidak agresif pihak yang terlibat untuk mencari penaja menjadi antara punca masalah itu terus berlarutan.

“Memang semua pihak perlu akui keadaan sekarang sangat mencabar untuk mencari penaja. Tetapi kita tidak boleh salahkan Covid-19 sebagai punca kesukaran mendapatkan penaja.

“Setiap pasukan yang beraksi dalam Liga-M musim ini baru sahaja bertukar status kepada FC. Apabila FA (persatuan bola sepak) dah tak ada... kemungkinan kerajaan negeri dan badan berkanun tak akan bagi dana kepada pasukan.

“Tetapi mereka tidak boleh menyalahkan kerajaan negeri. Apabila dah jadi FC, duit kena cari sendiri. Mereka kena ada perancangan perniagaan yang mantap dan dikendalikan oleh orang-orang yang biasa dalam hal pemasaran dan penajaan.

“Apa yang saya lihat, ada kelab yang masih berada di takuk lama walaupun sebelum ini mereka dikatakan telah melepasi syarat yang ditetapkan sebagai FC,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa dan Rabu, Sinar Harian melaporkan beberapa pasukan Liga-M masih menghadapi masalah dalaman melibatkan pengurusan selain ada juga bergelut mencari penajaan menjelang saingan Liga-M musim ini yang bakal bermula 5 Mac depan.

Artikel Berkaitan:

Hal itu berlaku disebabkan ada pihak penaja yang khuatir tidak mendapat pulangan pelaburan (ROI) jika mereka menaja sesebuah pasukan Liga-M atas krisis ketidaktentuan pandemik tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Perit cari penaja Liga-M

Jangan banyak main politik

Mengulas lanjut, Zulakbal turut memberikan cadangan kepada pasukan terutamanya untuk mencari penaja dalam kalangan syarikat yang ‘hidup’ ketika pandemik Covid-19 ini.

“Kita kena beradaptasi dengan keadaan sekarang. Apa yang pasukan boleh dibuat sekarang ini adalah mencari penaja daripada kalangan syarikat yang maju dalam keadaan Covid-19.

“Saya lihat di sini penajaan yang besar boleh diberikan oleh syarikat berunsur online kerana mereka maju ketika Covid-19 dan memerlukan liputan meluas untuk sebarang produk mereka.

“Kita sudah tidak boleh lagi mengharapkan penaja-penaja tradisional yang biasa menghulurkan penajaan kepada industri bola sepak sebelum ini. Sekarang masanya, cari penaja baharu, tidak kira kecil atau besar,” ujarnya.