AirAsia tidak sabar kembali terbang: Tony Fenandes

Tony Fernandes
Tony Fernandes
A
A
A

SEPANG - Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes menyarankan kepada semua rakyat Malaysia agar tampil mendapatkan vaksinasi Covid-19 supaya dapat kembali melakukan perjalanan udara.

Beliau berkata, sekarang adalah masa untuk rakyat Malaysia bersatu padu, berganding bahu dan menyokong kerajaan memberikan vaksin kepada semua orang.

“Saya nasihatkan semua orang untuk mendapatkan maklumat mengenai vaksin daripada saluran yang tepat dan mempercayai para saintis dan pakar.

"Vaksin adalah jawapan kita untuk benar-benar memacu kembali industri pelancongan global dan ekonomi tempatan di seluruh dunia yang amat diperlukan ketika ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, industri penerbangan terjejas teruk berikutan pandemik berkenaan.

"Tetapi kami akan terus berusaha dan sabar menunggu sekatan perjalanan antarabangsa untuk dibuka.

"Sama seperti kami, semua orang ingin kembali terbang tetapi kita perlulah bertanggungjawab dengan mengambil vaksin dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Tony berkata, AirAsia sudah bersedia dan tidak sabar untuk kembali terbang dengan pelbagai inovasi baharu dan prosedur tanpa sentuhan digital untuk memastikan standard kebersihan dan keselamatan tertinggi untuk pelanggan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Di Malaysia, Perdana Menteri kita merupakan rakyat pertama yang mendapatkan vaksinasi pada Rabu dan saya tidak sabar untuk menunggu giliran saya," kata beliau.

Tambah Tony, beliau juga berbesar hati kerana Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui MIMOS Bhd telah mengembangkan Sistem Pengendalian Vaksin berasaskan 'blockchain' untuk memastikan penghantaran dan pengedaran vaksin yang efisien dan selamat di negara ini.

Katanya, perkara itu harus diambil kira bagi menentukan populasi sasaran dan lokasi geografi yang tepat untuk memastikan negara dapat mencapai hasil paling berkesan dalam jangka masa yang singkat.

"AirAsia berharap dapat memainkan peranan aktif dalam kempen vaksinasi ini.

"Cabang logistik kami, Teleport sentiasa bersedia untuk membantu, termasuk mengambil vaksin dari China dan Rusia apabila tersedia, dan membuat penghantaran secara domestik di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India dan negara-negara lain.

“Sementara itu, juruterbang dan kru kabin kami yang belum kembali terbang sepenuhnya juga boleh membantu sebagai petugas barisan hadapan untuk program vaksinasi ini.

"Mereka telah dilatih untuk memberikan pertolongan kecemasan dan dapat menangani kecemasan berkaitan perubatan. Mereka pasti dapat membantu para petugas barisan depan. Ini adalah salah satu usaha tidak konvensional kami," katanya.

Beliau berkata, apa yang yang paling penting adalah pelaksanaan program vaksinasi itu memberikan garis masa paling jelas dan nyata mengenai kawalan sepenuhnya terhadap Covid-19 dan kehidupan akan kembali seperti biasa dengan norma baharu.

"Dengan sumbangan 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan dan 24 peratus daripada jumlah pekerjaan di negara ini, sektor pelancongan adalah salah satu pemacu ekonomi yang paling penting. Para pemain industri tersebut harus diberi keutamaan sebagai penerima vaksin," katanya.