Royal Brunei Airlines dibenar kendali 2 penerbangan dari Miri

Royal Brunei Airlines - Foto Bernama
Royal Brunei Airlines - Foto Bernama
A
A
A

MIRI - Royal Brunei Airlines Sdn Bhd dibenar mengendalikan dua penerbangan sewa khas dari Miri ke Brunei Darussalam pada Rabu.

Menteri yang bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Bahagian Miri, Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan pada Rabu berkata, penerbangan itu bertujuan membawa 133 pekerja Sarawak yang bekerja dengan syarikat Brunei LNG Sdn Bhd.

Beliau berkata, kelulusan untuk beroperasi dibenarkan secara bersyarat bahawa Royal Brunei Airlines mesti mematuhi dengan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Menteri Kesihatan dan Garis Panduan Kemasukan JPBN ke Sarawak bagi Kru Penerbangan Komersial.

“Kru penerbangan tidak boleh meninggalkan pesawat dan menjaga kebersihan diri seperti memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan, mengamalkan penjarakan fizikal dan tiada interaksi dibenarkan antara kru penerbangan dan petugas perkhidmatan pengendalian darat,” kata Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak.

Beliau berkata, kelulusan itu disampaikan oleh kementeriannya kepada Royal Brunei Airlines, Isnin lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: