JKSM tiada kuasa bicara kesalahan murtad warga Indonesia

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kesalahan murtad melibatkan seorang wanita Islam warga Indonesia, kerana perbuatan itu dipercayai bukan berlaku di negara ini.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie JKSM, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar bagaimanapun berkata, individu berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1992 sekiranya kesalahan itu dilakukan di negara ini.

“Kalau kesalahan percubaan untuk murtad contohnya, sudah tentu dalam konteks syariah ini tidak melihat kepada negara.

"Contohnya kalau ada mana-mana pihak, walaupun dia bukan warganegara Malaysia tetapi dia beragama Islam dan melakukan sesuatu kesalahan dalam negara ini yang jatuh di bawah Enakmen Jenayah Syariah.

“Sebagai contoh isu khalwat, dia Indonesia beragama Islam dan ditangkap di Malaysia, jadi dia boleh dihukum di bawah undang-undang negara kita. Kita tidak melihat dari mana orang itu selagi dia beragama Islam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Prosiding Mahkamah Utama Syariah di Mahkamah Syariah Ipoh di sini pada Rabu.

Sebelum ini, tular video memaparkan pengakuan seorang lelaki bukan Islam memurtadkan seorang wanita Muslimah warga asing.

Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dilaporkan berkata, kes itu kini dalam siasatan dan tindakan pihak polis. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Polis sudah kenal pasti identiti lelaki murtadkan wanita Islam

Kes video murtadkan wanita dalam siasatan, tindakan polis: Zulkifli

Video murtad: Biar polis jalankan siasatan, kata Jakim