X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

PTPTN umum Ganjaran Kesetiaan

Ganjaran Kesetiaan SSPN-i 2021 disiarkan secara langsung menerusi Facebook PTPTNOfficial pada Rabu.
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Ganjaran Kesetiaan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) pada kadar satu peratus kepada pendeposit-pendepositnya.

Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia merupakan hadiah istimewa dan tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, tahun ini merupakan tahun ketiga ganjaran tersebut diberikan kepada pendeposit setia SSPN-i.

“Ganjaran ini akan dinikmati pendeposit SSPN-i yang membuat simpanan terkumpul dalam tempoh promosi dengan jumlah minimum sebanyak RM500.

“Tempoh promosi bermula 24 Februari 2021 sehingga 30 April 2021 dan layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun SSPN-i sebelum 2018.

“Ganjaran diberikan sangat berbaloi sebagai pulangan tambahan selain dividen tahunan. Kepada pendeposit SSPN-i yang layak, rebutlah peluang keemasan ini,” katanya semasa melancarkan Ganjaran Kese-tiaan SSPN-i 2021 secara langsung menerusi Facebook PTPTNOfficial pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Wan Saiful berkata, walaupun berdepan persekitaran ekonomi yang sukar akibat pandemik Covid-19, PTPTN berjaya memecah rekod baharu deposit dengan mencapai jumlah simpanan tertinggi pada tahun 2020 iaitu sebanyak RM1.99 bilion.

Menurutnya, pemberian dividen SSPN sebanyak empat peratus diharap dapat menjadikan SSPN pilihan utama untuk simpanan pendidikan anak.

“PTPTN terus konsisten memberikan dividen amat kompetitif berbanding institusi kewangan lain.

"Alhamdulillah, dividen SSPN bagi 2020 sebanyak empat peratus telah diumumkan semalam (Selasa) yang merupakan berita gembira kepada semua pendeposit SSPN,” katanya.

Pendeposit SSPN boleh membuat semakan dividen pada penyata SSPN melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my mulai Jumaat ini.

Wan Saiful berkata, PTPTN menyasarkan sebanyak RM1.8 bilion kutipan deposit SSPN pada tahun ini.

“Penetapan sasaran ini berdasarkan pencapaian positif SSPN sepanjang tiga tahun berturut-turut sejak 2018.

“Ia dipacu dengan pelbagai langkah proaktif dari aspek pengoperasian, pelaburan, pemasaran dan komunikasi strategik yang telah dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2021 ini,” katanya.

SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan kepada seisi keluarga termasuk pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000 dan pemberian dividen yang kompetitif.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!