Bekalan pertama vaksin Covid-19 tiba di Sarawak

Amar (kanan) bersama kontena berisi kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech untuk negeri Sarawak yang dibawa dengan penerbangan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada Rabu. -Foto Bernama
Amar (kanan) bersama kontena berisi kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech untuk negeri Sarawak yang dibawa dengan penerbangan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada Rabu. -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech untuk negeri Sarawak selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada 6.20 petang Rabu.

Pesawat TH543 yang dikendalikan syarikat penerbangan Raya Airways itu membawa 23,400 dos vaksin Covid-19 untuk pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di negeri ini.

Sebaik mendarat, kontena berisi vaksin itu diterima secara simbolik oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Vaksin terbabit akan disimpan di KIA malam ini sebelum dihantar ke Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di Kuching dan Sibu esok.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, fasa pertama program imunisasi di negeri itu akan bermula pada Jumaat ini dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bakal menjadi individu pertama di Sarawak yang menerima vaksin tersebut.

“Kami harap penduduk di Sarawak akan ambil peluang untuk menyertai program ini dan mereka boleh mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera atau hadir di pejabat daerah dan pejabat residen berdekatan.

“Program imunisasi ini akan mengambil masa, namun kami menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 2.2 juta penduduk menjelang Ogos depan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan pesawat yang membawa vaksin itu.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Chin Zin Hing berkata, fasa pertama program imunisasi di Sarawak akan berlangsung hingga 31 Mac, melibatkan 97,161 orang petugas barisan hadapan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, fasa kedua dan ketiga pula akan berlangsung antara April dan 31 Ogos, meliputi 929,435 orang merangkumi golongan tua dan berisiko tinggi serta 992, 834 individu berumur 18 tahun ke atas yang layak.

“Esok kita akan hantar vaksin ke pusat penyimpanan di Kuching serta Sibu sebelum dihantar ke semua pusat penyimpanan lain di Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit dan Mukah pada Jumaat,” katanya, menambah proses pemberian vaksin akan melibatkan 53 pusat di seluruh negeri.

Katanya, Sarawak dijangka menerima 87,750 dos vaksin untuk fasa pertama dengan semua bekalan akan diangkut menerusi jalan darat menggunakan bekas khas yang tidak boleh dibawa menggunakan pengangkutan udara. - Bernama