PKPD: Warga Penjara Tapah terima bantuan kotak makanan

Sham (kiri) membuat serahan bantuan kotak makanan kepada Kamarulzaman di pekarangan Penjara Tapah pada Rabu.
Sham (kiri) membuat serahan bantuan kotak makanan kepada Kamarulzaman di pekarangan Penjara Tapah pada Rabu.
A
A
A

TAPAH - Kerajaan Perak menyalurkan bantuan kotak makanan kepada lebih 500 isi rumah di Penjara Tapah yang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 16 Februari lepas.

Bantuan makanan hasil sumbangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Perak itu antara inisiatif yang digerakkan bagi meringankan beban anggota dan pegawai serta ahli keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, ia adalah kesinambungan daripada bantuan sama di lokasi PKPD di daerah-daerah lain antaranya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II dan Felda Bersia di Gerik, Felda Lasah dan Kampung Besi Api di Sungai Siput serta Felcra Nasaruddin Bota di Perak Tengah.

"Program ini dilaksanakan kerajaan negeri menerusi inisiatif Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad sendiri.

"Selain kotak makanan, kita juga akan lihat keperluan bantuan lain yang boleh disalurkan dari masa ke masa menerusi laporan-laporan terkini yang diperoleh daripada Pegawai Daerah dan pemimpin setempat," katanya ketika ditemui pemberita selepas serahan sumbangan di pekarangan Penjara Tapah, di sini pada Rabu.

Serahan disampaikan kepada Pengarah Penjara Tapah, Timbalan Pesuruhjaya Kamarulzaman Mamat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan, Ketua UMNO Bahagian Tapah, Isham Sharudin dan Pegawai Daerah Tapah, Shahrul Affendi Baharudin.

PKPD selama 14 hari sehingga 1 Mac ini merupakan kali kedua dikenakan ke atas Penjara Tapah selepas kali pertama pada 23 Oktober hingga 4 November tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan PKPD itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan mendapati situasi kes Covid-19 di penjara dan kuarters kakitangan itu dilaporkan meningkat.

Secara keseluruhan terdapat 3,251 penghuni di Penjara Tapah terdiri daripada 1,993 banduan dan selebihnya melibatkan kakitangan dan ahli keluarga.

Setakat data yang direkodkan pada Rabu, 262 daripada mereka masih disahkan positif Covid-19.