Malaysia, Perancis setuju kerjasama bentuk baharu

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Perancis bersetuju membina kerjasama dalam bentuk baharu termasuk mengekalkan rantaian bekalan global, menjamin akses vaksin dan pemulihan sosio-ekonomi, ketika kedua-dua negara bergelut dengan wabak Covid-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara berkenaan dipersetujui ketika sidang video hampir sejam pada Isnin dengan rakan sejawatan, Jean-Yves Le Drian.

“Saya dan Le Drian bersetuju bahawa kedua-dua negara perlu menggandakan usaha sedia ada dalam mengukuhkan kerjasama pelbagai bidang serta bersetuju untuk meningkatkan lagi tahap rakan kongsi.

“Ini termasuk mempromosi industri minyak sawit Malaysia, akses komoditi itu ke pasaran Perancis dan lainnya - yang dapat memberi manfaat besar kepada pekebun kecil serta industri, selain kerjasama lebih luas dalam dagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, hubungan sesama rakyat serta kerjasama pertahanan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan perkembangan semasa serantau termasuk keadaan terkini di Myanmar dengan Le Drian menyuarakan sokongan terhadap kepemimpinan dan usaha ASEAN terutama cadangan pertubuhan serantau itu menganjurkan Mesyuarat Peringkat Menteri Tidak Rasmi.

Mesyarat itu adalah inisiatif Menteri Luar Malaysia dan Indonesia dengan kerjasama rapat Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2021 selepas menerima mandat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Presiden Joko Widodo.

Pada 1 Februari lalu, tentera Myanmar merampas kuasa dan mengisytiharkan darurat selama setahun, diikuti tindakan menahan pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan atas tuduhan penipuan undi dalam pilihan raya November 2020.

Hishammuddin berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan Perancis sebagai Rakan Pembangunan ASEAN selain mengiktiraf hasrat Perancis memperluaskan jalinan hubungannya dengan Malaysia serta rakan ASEAN lain.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama ini termasuk terhadap memastikan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik, menangani isu tertunggak seperti penghantaran pulang Rohingya, mencegah pemerdagangan manusia, jenayah terancang rentas sempadan serta ancaman keganasan," katanya.

Selain itu katanya, kedua-dua negara itu juga bersetuju untuk berganding bahu memupuk persefahaman terhadap pekerti universal, meningkatkan lagi kefahaman dan toleransi dalam kalangan penduduk berbilang budaya, agama dan kepercayaan demi memastikan keamanan dan keharmonian.

"Saya dan Le Drian bersetuju untuk terus berhubung lebih-lebih lagi kami sebelum ini sama-sama menjadi menteri pertahanan. Kami mempunyai hubungan kerja yang akrab dan saling memahami dalam mengukuhkan lagi persahabatan Malaysia-Perancis," kata Hishammuddin. - Bernama