Kantoi sorok 99 paket dadah dalam perut

Kira-kira 99 beg plastik mengandungi serbuk putih ditelan oleh Abdul Rahman (gambar kecil).
A
A

BADUNG - INDONESIA. Seorang lelaki warga Tanzania ditahan di Bali selepas lebih sekilogram methamphetamine ditemui dalam perutnya, menurut pihak berkuasa Indonesia pada Selasa.

Pegawai imigresen di pulau peranginan itu yang secara rutin melakukan tangkapan ke atas warga asing atas kesalahan dadah memaklumkan Abdul Rahman Asman, 42, ditahan di Lapangan Antarabangsa Ngurah Rai pada 30 Januari lalu.

"Hasil pemeriksaan imbasan X-ray menemui kira-kira 99 beg plastik mengandungi serbuk putih yang ditelan Abdul Rahman," ujar jurucakap pihak berkuasa yang menunjukkan puluhan beg plastik itu ketika sidang media.

Ia bagaimanapun masih tidak jelas sama ada pendakwa raya akan menuntut hukuman mati ke atasnya.

Seorang lagi suspek pengedar dadah, Husein Ashadi Bahri, 60, yang membawa kira-kira 45 gram ganja disembunyikan dalam papan kekunci komputer juga didedahkan kepada umum.

Dia bakal berdepan hukuman penjara 15 tahun jika disabit bersalah. - AFP