Bukti sistem demokrasi berparlimen amat tinggi

Shahril Sufian
Shahril Sufian
A
A
A

SHAH ALAM - Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titah pada Rabu membuktikan baginda selaku ketua negara yang memayungi rakyatnya meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap yang amat tinggi.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, beliau menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen boleh bersidang ketika darurat pada tarikh yang ditetapkan kelak.

"Ia juga membuktikan bahawa Seri Paduka Baginda mengutamakan prinsip keluhuran Perlembagaan dan setiap cabang sistem demokrasi negara perlu akur kepada prinsip tersebut - termasuklah Kerajaan Malaysia (Eksekutif).

"Pendirian agar Parlimen kembali bersidang segera mungkin selari dengan hasrat memelihara peranan semak dan imbang yang dimainkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat dan Negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau, pendirian tersebut juga mendorong kepimpinan UMNO menggesa suatu solusi yang membenarkan persidangan Parlimen tanpa membelakangi titah Seri Paduka Baginda.

"Misalnya, peranan Ahli Parlimen Pengerang dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengemukakan hujahan berpaksikan kepada kepakaran beliau dalam bidang perundangan telah membuka mata ramai rakyat Malaysia berkenaan rasional dan asas pendirian ini.

"Rakyat Malaysia sentiasa mendoakan agar Seri Paduka Baginda dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan serta sentiasa diberkati ALLAH SWT," katanya.

Yang di-Pertuan Agong melalui Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

Perkara tersebut termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.