DRB-Hicom catat keuntungan bersih RM554.13 juta

DRB-Hicom
DRB-Hicom
A
A
A

DRB-Hicom Bhd mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM554.13 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 di belakang perolehan sebanyak RM13.16 bilion.

Konglomerat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, tahun kewangan 2020 merupakan tahun penuh pertama DRB-Hicom dalam tempoh kewangan yang disemak semula, oleh itu, tiada angka suku tahunan atau tahunan yang boleh dibandingkan.

Bagi suku keempat, DRB-Hicom mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM985.99 juta dan perolehan pada RM4.85 bilion.

Sektor automotif DRB-Hicom terus meraih impak positif daripada keputusan kerajaan yang telah mengisytiharkan pengecualian cukai jualan bagi pembelian kenderaan penumpang.

Ia menjamin pendapatan sebanyak RM8.0 bilion bagi sektor itu pada tahun kewangan 2020, dengan suku keempat mencatatkan suku terbaik untuk tempoh 12 bulan dengan jualan bernilai RM2.6 bilion, naik 3.0 peratus daripada suku sebelumnya.

Sementara itu, pendapatan bagi sektor perkhidmatan menokok pada RM3.5 bilion semasa tahun kewangan 2020 selepas dirangsang oleh prestasi anak syarikat pos dan logistik serta operasi perbankan.

Pada suku keempat, perolehan adalah RM877.4 juta, yang merupakan suku kedua terbaik sektor itu selepas suku ketiga yang menyaksikan perolehan mencecah RM918.7 juta.

Sektor hartanah mencatatkan hasil sebanyak RM1.3 bilion, dirangsang oleh pelupusan aset hartanah termasuk pelaburan yang berjaya diselesaikan oleh kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Pelupusan itu, pertama kali diumumkan pada 2018 adalah sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula perniagaan hartanah DRB-Hicom yang menyaksikan kumpulan mengiktiraf keuntungan sebanyak RM862.6 juta.

"Antara penjualan berkenaan adalah simpanan tanah kediaman. Sektor hartanah kini lebih tertumpu kepada hartanah perindustrian, dengan simpanan tanah kami yang masih luas di Kedah, Perak, Melaka dan Johor. Ia juga menandakan pengunduran DRB-Hicom daripada industri perhotelan," kata kumpulan itu.

Di sebalik kesukaran landskap ekonomi hari ini, DRB-Hicom menjangkakan satu lagi tahun kewangan yang mencabar berakhir 31 Disember 2021 selepas melihat perkembangan global yang mengelilingi pembendungan Covid-19 akan dikekalkan.

"Oleh itu, DRB-Hicom akan terus menerima pakai atau jika perlu, mencipta pendekatan pengurusan kos berhemat yang baharu, pada masa yang sama, memberi tumpuan kepada pengukuhan segmen perniagaan teras masing-masing bagi memastikan kelangsungan perniagaan," tambahnya.

Perniagaannya dalam segmen pertahanan, aeroangkasa, perbankan, perkhidmatan dan hartanah akan terus menyasarkan ke arah kecekapan operasi bagi mengoptimumkan kos sambil meningkatkan produktiviti. - Bernama