PH gesa Muhyiddin panggil sidang Parlimen seawal Mac

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan segera menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen seawal Mac depan.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Rabu.

"Majlis Presiden Pakatan Harapan menjunjung kasih ke atas Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong di atas pandangan yang dizahirkan hari ini (rabu) bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

"Ini selaras dengan apa yang termaktub dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021," menurut kenyataan itu.

Perkembangan itu juga merupakan pendirian PH serta majoriti ahli-ahli Parlimen, bahawa pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman boleh berfungsi sewaktu darurat berkuat kuasa, Parlimen juga perlu terus memainkan peranan dalam memastikan urus tadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan.

"Oleh itu, kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam Perlembagaan Malaysia, mengetengahkan isu-isu serta masalah yang dihadapi rakyat dalam usaha membendung pandemik Covid-19, serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara.

"Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan segera menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen seawal bulan Mac sepertimana diperkenan Tuanku di dalam Takwim Parlimen sebelum ini," jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: