Ketepikan perebutan kuasa, ambil peluang kembali bersidang di Parlimen

336814
336814
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang digesa mengambil peluang untuk kembali bersidang susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan dan titah sedemikian sudah tentu akan disambut baik oleh semua pihak.

Menurutnya, pergeseran ideologi politik dan perebutan kuasa perlu diketepikan dengan memanfaatkan ruang itu untuk memberikan kepimpinan terbaik kepada masyarakat dan negara.

"Bahaskanlah secara serius serta objektif akan jalan keluar dari segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi ini.

"Ini adalah peluang terbaik untuk semua ahli Parlimen membukti dan mengembalikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar suara rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau juga secara peribadi menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Seri Paduka Baginda dalam hal tersebut.

"Semoga amalan demokrasi berparlimen negara ini akan terus matang dan kita semua akan mendapat manfaat yang selayaknya," kata beliau.

Pada Rabu, Seri Paduka Baginda melalui Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

Perkara tersebut termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.