Tunku Ismail tanggung sebahagian harga jersi

No Image Caption
A
A
A

PEMILIK kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan menanggung sebahagian daripada harga jersi baharu away skuad berkenaan yang akan dijual bermula esok.

JDT dalam kenyataan hari ini berkata, ia adalah sebahagian daripada tanda penghargaan atas sokongan yang tidak berbelah bahagi oleh penyokong terhadap kelab berkenaan.

Menurut kelab itu, jersi away dipilih sebagai hadiah istimewa itu kerana warna jersi itu melambangkan Stadium Sultan Ibrahim sekali gus bersempena dengan ulang tahun pertama stadium berkenaan yang dibuka secara rasmi pada 22 Februari tahun lepas.

“Jersi Nike 2021 JDT akan menyaksikan jersi away versi pemain dijual buat pertama kali dan pada harga yang berbaloi.

“Harga sebenar jersi away ini adalah RM429, tetapi ia akan dijual pada harga RM185, iaitu sama dengan harga jersi home versi peminat. Tunku Ismail akan menanggung lebihan kos jualan jersi away yang dijual ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, jersi home dan away JDT akan dijual bermula esok pada 11 pagi menerusi JDT platform dalam talian miliknya dan penjual rasmi.

Jersi away akan dijual secara eksklusif di http://store.johorsoutherntigers.com.my, manakala jersi home pula akan dijual di Nike.com dan JDT.Luaskan Kuasamu Johor. - Bernama

Artikel Berkaitan: