Banglo jadi pusat panggilan judi dalam talian

Individu yang disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian ditahan di sebuah banglo di Hulu Langat pada Rabu.
Individu yang disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian ditahan di sebuah banglo di Hulu Langat pada Rabu.
A
A
A

HULU LANGAT - Seramai 31 individu termasuk empat warga China disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian diberkas polis di sebuah banglo di sini pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sindiket berkenaan menyewa banglo tiga tingkat di dalam sebuah komuniti berpagar untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Hasil maklumat orang awam, kita menyerbu kediaman ini dan menahan seramai 31 individu berusia 20-an pada jam 3.30 petang," katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan pada Rabu.

Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menjadikan kediaman itu sebagai pusat panggilan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

"Selain itu, mereka juga merupakan sindiket lelongan palsu dalam talian," katanya.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk tindakan lanjut.

"Sindiket itu dipercayai memperoleh keuntungan sebanyak RM2 juta daripada kegiatan haram tersebut. Individu itu pula dibayar sebanyak RM3,000 setiap bulan," katanya.

Menurutnya, polis akan mengesan pemilik kediaman itu untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat sebagai menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.