X

Kindly register in order to view this article
!

Penggiat industri acara rayu kerajaan benarkan operasi

Rita Hartini
A
A

SHAH ALAM - Penggiat industri acara merayu kepada kerajaan agar membenarkan mereka beroperasi semula dengan melakukan beberapa penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Pengasas Tirai Ratu Event Hall, Rita Hartini Rozali berkata, pertimbangan kerajaan amat penting ketika industri itu kini semakin tenat setelah hampir setahun tidak dapat beroperasi.

Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac 2020, industri itu hanya dibenarkan beroperasi selama lebih kurang tiga minggu pada Oktober 2020.

"Sehingga hari ini, ia masih belum dibenarkan beroperasi khususnya di negeri yang masih berstatus PKP.

"Ada antara usahawan industri acara di negeri yang berstatus PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) merungut meskipun industri acara telah dibenarkan beroperasi tetapi juga pada peringkat negeri yang tidak memberi izin untuk penggiat industri acara beroperasi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Rita Hartini berkata, mereka juga mempunyai keluarga untuk diberi perhatian dan komitmen bulanan yang perlu dilunaskan.

"Kami turut menyumbang kepada pertumbuhan dan kelangsungan sosioekonomi negara.

"Apakah yang membezakan kami dengan industri lain yang telah dibuka semula dan dibenarkan beroperasi?" katanya.

Menurutnya, antara penambahbaikan SOP yang disarankan adalah tiada penglibatan warga emas dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun untuk hadir sebarang majlis.

"Tetamu yang menghidap penyakit berisiko dan kronik juga tidak dibenarkan hadir. Tetamu hadir untuk tempoh satu jam dan mengikut aturan masa yang ditetapkan.

"Jika ada yang gagal mematuhi SOP ditetapkan, kami akur dan tiada halangan untuk dikenakan hukuman setimpal," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!