Lupus barangan sitaan RM1.21 juta

Norena melupuskan CD dan VCD cetak rompak pada Program Pelupusan Eksibit pada Rabu.
Norena melupuskan CD dan VCD cetak rompak pada Program Pelupusan Eksibit pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka melupuskan pelbagai barangan sitaan melibatkan 119 kes bernilai RM1.21 juta dalam tempoh sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, ia sebahagian daripada 242 kes yang direkodkan melibatkan 19,878 pemeriksaan di 15,480 premis di kawasan bandar dan 4,403 premis di kawasan luar bandar sepanjang tempoh sama.

Katanya, daripada 242 kes berkenaan sebanyak 50 kes melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Cap Dagang 2019 dengan nilai rampasan berjumlah RM541,480.

“Sebanyak 201 kes telah dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM205,550, melibatkan pelbagai kesalahan di bawah semua akta yang dikuatkuasakan di bawah KPDNHEP sepanjang tahun lepas.

“Selain itu, denda berjumlah RM244,500 direkodkan melalui tindakan pendakwaan di mahkamah pada tahun lepas, selain sebanyak RM81,787 hasil diperoleh yang disalurkan kepada kerajaan menerusi barangan sitaan yang dijual,” katanya kepada pemberita selepas Program Pelupusan Eksibit di sini pada Rabu.

Pada program itu, sebanyak 441 unit barangan sitaan melibatkan pelbagai pakaian dan tali pinggang berjenama antaranya Kenzo, Hermes, Dior dan Givenchy serta 256 unit cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD) bernilai RM144,198, melibatkan dua kes yang telah selesai siasatannya pada tahun lepas.

Mengulas lanjut, Norena berkata, KPDNHEP Melaka menerima 898 aduan dan kebanyakannya melibatkan perihal harga dengan 45 kes berjaya dihasilkan menerusi aduan tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, 73 daripada 90 aduan yang diterima dalam tempoh 1 Januari hingga Selasa telah selesai siasatan dan sebanyak enam kes berjaya dihasilkan setakat ini melibatkan penandaan harga dan alat timbang yang telah tamat tempoh tentu sah.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, KPDNHEP Melaka ingin mengingatkan masyarakat agar terus mematuhi undang-undang perdagangan yang dikuatkuasakan, dan sekiranya terdapat sebarang perlanggaran undang-undang, pengguna atau masyarakat boleh menyalurkan aduan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, aduan boleh disalurkan ke talian am KPDNHEP Melaka (06-2345822), atau emel (e-aduan@kpdnhep.gov.my) atau WhatsApp (019-2794317) atau hadir ke pejabat KPDNHEP Melaka. - Bernama