Laporan separuh penggal NACP dijangka keluar penggal pertama 2021

Untitled
Untitled
A
A
A

PUTRAJAYA - Laporan Semakan Separuh Penggal Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dijangka dikeluarkan pada penggal pertama 2021, menurut Pusat Governans Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri.

GIACC dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan laporan tersebut akan menggariskan inisiatif baharu untuk pelaksanaan seiring dengan konsep bahawa NACP adalah sebuah dokumen yang tidak luput.

Menurut GIACC, laporan kemajuan NACP dari semasa ke semasa akan dilaporkan melalui kenyataan rasmi bertulis yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat GIACC, manakala hebahan berkaitan kemajuan inisiatif NACP yang dilaksanakan oleh kementerian dan agensi akan dilaksanakan oleh Ketua Agensi Peneraju berkenaan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, Laporan Kemajuan NACP Bagi Tahun 2019 yang telah dibentangkan di Mesyuarat JKKMAR Siri 13 Bil. 3 Tahun 2020 juga akan dimuat naik di laman web rasmi GIACC untuk pemakluman umum.

Kenyataan itu menyatakan, sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 29 inisiatif NACP telah selesai pelaksanaan dan telah menghasilkan pencapaian di peringkat output.

"29 inisiatif ini kini dalam tahap dikaji keberkesanan di peringkat outcome," katanya.

Bermula Mac 2020, GIACC telah melaksanakan Semakan Separuh Penggal NACP agar bersesuaian dengan dasar semasa kerajaan, jelasnya.

Menurut GIACC, sebanyak 24 Ketua Agensi Peneraju bagi 115 inisiatif telah membuat analisis dan kajian di peringkat dasar dan strategi dalam proses semakan separuh penggal ini.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu selaras dengan komitmen kerajaan yang dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan pelaksanaan NACP 2019-2023 dalam memastikan penambahbaikan aspek governans, integriti dan antirasuah dapat dilaksanakan bagi mencapai hasrat negara yang bebas rasuah dan berintegriti, katanya. - Bernama