X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga anak dalam pacuan empat roda dibawa lari penjenayah

Kenderaan pacuan empat roda milik Abdul Hadi yang dilarikan penjenayah dalam kejadian di Jengka pada Rabu.
A
A

JENGKA - Seorang pemilik bengkel cat kenderaan berdepan detik cemas apabila tiga anaknya yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda miliknya dilarikan dua lelaki di Masjid Bandar Jengka di sini pada pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi pagi itu, Abdul Hadi Abdul Abdul Rahim, 45, dari Jengka 13 di sini singgah ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat Subuh ketika dalam perjalanan menghantar isterinya yang merupakan seorang guru ke sekolah.

Menurutnya, dua anak lelakinya berusia lapan dan tiga tahun bersama seorang anak perempuan kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun ditinggalkan dalam kenderaan jenis Toyota Hilux miliknya itu.

"Saya keluar dulu dari kenderaan untuk masuk ke dalam masjid, kemudian baru isteri saya masuk ke dalam masjid. Tetapi isteri saya keluar dulu dari masjid selepas selesai solat Subuh.

"Bila saya keluar dari masjid, saya nampak isteri menangis di hadapan masjid. Dia kata kereta dan anak-anak kami sudah hilang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Abdul Hadi berkata, dia terus meminta bantuan keluarganya sebelum ketiga-tiga anaknya berjaya ditemui di sebuah simpang jalan di Jengka 11 di sini kira-kira jam 7 pagi.

"Masa itu saya hanya fikir anak-anak sahaja. Syukur kerana penjenayah yang melarikan kenderaan saya tidak mengapa-apakan anak-anak tetapi meninggalkan mereka di simpang," katanya.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan mendapati seorang lelaki meminta salah seorang anak lelakinya membuka pintu kenderaan yang telah dikunci dari dalam.

Katanya, selepas kenderaan dibuka, lelaki itu terus memandu, manakala seorang lagi lelaki masuk ke dalam sebuah lagi kereta di belakang masjid," katanya.

Abdul Hadi berkata, dia bernasib baik kerana kenderaannya yang dilengkapi dengan sistem GPS itu juga ditemui ditinggalkan dua penjenayah terbabit di Jengka 1 kira-kira jam 10 pagi.

"Bagaimanapun dokumen penting, barangan kemas, wang tunai serta telefon bimbit milik saya dan isteri yang berada di dalam kenderaan itu telah hilang," katanya.

Mengakui trauma dengan insiden tersebut,Abdul Hadi berkata, ia satu pengajaran buat dirinya supaya lebih berhati-hati selepas ini.

Berikutan kejadian itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bandar Pusat Jengka di sini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!