45 minit cekup nelayan asing ceroboh perairan negara

Muhd Nur Sham Asmawie (kanan) memeriksa nelayan warga Vietnam yang ditangkap menceroboh masuk ke perairan negara ini secara haram di Jeti Maritim Tok Bali, Pasir Puteh pada Selasa.
Muhd Nur Sham Asmawie (kanan) memeriksa nelayan warga Vietnam yang ditangkap menceroboh masuk ke perairan negara ini secara haram di Jeti Maritim Tok Bali, Pasir Puteh pada Selasa.
A
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan hanya mengambil masa 45 minit untuk mengejar dan menahan sebuah bot nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh masuk ke perairan negara ini secara haram pada Selasa.

Bot asing itu ditahan pada jam 8.13 pagi oleh Kapal Maritim (KM) Amanah di kedudukan 84 batu nautika dari muara Tok Bali, di sini.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Sham Asmawie Yaacob berkata, penahanan dalam tempoh yang singkat itu hasil kecekapan dan kepakaran dimiliki oleh kru KM Amanah yang berjaya mematahkan tindakan nelayan asing itu.

"Biasanya kita mengambil masa antara dua hingga tiga jam sebelum dapat menahan sesebuah bot nelayan asing kerana berdepan pelbagai cabaran semasa melaksanakan penugasan di lautan," katanya kepada pemberita di Jeti Maritim Kelantan, Tok Bali, di sini pada Rabu.

Menurutnya, Maritim Malaysia telah menahan seorang tekong dan enam awak-awak berusia antara 24 hingga 46 tahun.

Muhd Nur Sham Asmawie berkata, bot berkenaan kemudian dibawa balik ke Jeti Maritim Tok Bali untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot menemui 100 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis yang dianggarkan berjumlah RM350,000.

"Kes disiasat bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhd Nur Sham Asmawie berkata, pihaknya akan terus memperkasakan lagi rondaan di kawasan perairan Kelantan untuk mengekang aktiviti pencerobohan nelayan asing.

Katanya, selain itu aktiviti jenayah rentas sempadan menggunakan laut turut diberikan perhatian oleh agensi berkenaan.

"Kami sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang melanggar peraturan ini.

"Kejayaan ini merupakan tangkapan pertama bagi tahun ini," katanya.