Covid-19: 12 kematian, 3,545 kes baharu

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 3,545 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan Negeri Sembilan mencatat kes harian tertinggi melibatkan 1,392 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata susulan kes baharu itu, jumlah kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini sebanyak 291,774 kes.

Sebanyak 12 lagi kematian dilaporkan akibat pandemik itu dalam tempoh 24 jam lepas.

Beliau berkata, sebanyak 3,544 daripada jumlah kes baharu itu adalah penularan dalam negara melibatkan 1,544 warganegara dan 2,000 bukan warganegara manakala hanya satu kes import dilaporkan membabitkan bukan warganegara.

Kes sembuh harian pula adalah 3,331 menjadikan jumlah kes aktif sebanyak 30,677, katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19.

Dr Noor Hisham memaklumkan Selangor mencatat kes harian kedua tertinggi dengan 581 kes, diikuti Kuala Lumpur (381), Sarawak (353), Johor (318), Perak (188), Sabah (105), Pulau Pinang (95), Melaka (26), Terengganu (22), Kedah (17), Pahang (lapan), Labuan (lima) dan Putrajaya dengan satu kes.

Beliau berkata, daripada 12 kes kematian dilaporkan hari ini, 11 kes kematian melibatkan warga tempatan dan seorang bukan warganegara dalam lingkungan umur 52 hingga 98 tahun dengan tujuh kes direkodkan di Kuala Lumpur, Selangor (dua) dan masing-masing satu kes di Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang.

Menurutnya, 29 kes berkaitan kluster dilaporkan di penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (14 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (12 kes), Kluster Telok Mas (dua kes) dan Kluster Tembok Taiping mencatat satu kes.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kluster baharu beliau berkata, sebanyak lapan lagi kluster dikenal pasti hari ini, dengan tujuh daripadanya berkaitan tempat kerja manakala baki satu kluster melibatkan komuniti iaitu di Sinsingon, Sabah.

Kluster tempat kerja yang dikenal pasti ialah Kluster Perindustrian Lukut, Jalan Ulu Choh dan Jalan Dato Yunus, Johor; Lorong Bakau dan Vista Hilir (Pulau Pinang); Jalan Enam (Selangor) dan Pasar Bidor di Perak.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 78 kluster merekodkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini antaranya Kluster Industri Sungai Gadut (1,338 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Segambut (174 kes), dan Kluster Jalan Pelabuhan (164 kes).

Pertambahan kluster baharu hari ini menjadikan jumlah kluster aktif kini sebanyak 509, manakala jumlah keseluruhan kluster tamat ialah 594 selepas lapan kluster dilapor tamat pada hari ini, katanya. - Bernama