Beberapa negeri di Semenanjung mula terima bekalan vaksin

Foto AFP
Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa negeri di Semenanjung Malaysia mula menerima bekalan vaksin Covid-19, vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech pada Rabu menandakan bermulanya Fasa Pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Program vaksinasi terbesar negara diberikan secara percuma itu bagi memastikan penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing, dilindungi daripada Covid-19 yang telah menjangkiti lebih 290,000 orang dan meragut lebih 1,000 nyawa sejak pandemik berkenaan menular di Malaysia, Januari tahun lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menjadi antara individu terawal di negara ini menerima vaksin berkenaan, suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya, Presint 11 kira-kira jam 3 petang Rabu.

Di NEGERI SEMBILAN, vaksin Comirnaty tiba di PSV Klinik Kesihatan Seremban 2 di sini pada jam 11.23 pagi Rabu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi berkata, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran ketibaan vaksin di negeri ini, 15 anggota ditugaskan untuk mengiringi kenderaan yang membawa vaksin ke lokasi PSV.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan bilik gerakan operasi Covid-19 di setiap daerah di negeri itu bagi memastikan pelaksanaan suntikan vaksin Covid-19 di 37 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berjalan lancar.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti lokasi bilik gerakan berkenaan dan akan berbincang dengan pihak Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung perkara itu pada 1 Mac depan.

“Ia akan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malek.. fungsi bilik gerakan ini bagi memastikan setiap keperluan dan pelaporan kepada Kementerian Kesihatan dan MOSTI seragam,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti 16 dewan yang akan digunakan sebagai pusat vaksinasi di bawah fasa dua dan tiga Program Imunisasi Covid-19Kebangsaan di setiap daerah.

Di KEDAH, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, 50,310 dos vaksin diperuntukkan bagi fasa pertama PICK di negeri itu, yang akan diterima secara berperingkat bermula pada Rabu.

Beliau berkata, bagi fasa pertama 25,155 senarai penerima vaksin terdiri daripada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan swasta, petugas barisan hadapan termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Imigresen, kakitangan penjara dan bomba.

Katanya, vaksin akan ditempatkan di tiga Pusat Simpanan Vaksin (PSV) masing-masing di daerah Kota Setar, Kuala Muda serta Langkawi dan sehingga kini 57 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah disenaraikan di Kedah, 46 daripadanya adalah di fasiliti kesihatan KKM.

Sementara itu di MELAKA, 8,190 dos vaksin telah tiba pada jam 11.55 pagi, yang merupakan kumpulan awal daripada 11,000 dos yang akan diterima dalam tempoh dua hari.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, baki dos vaksin akan diterima pada Jumaat ini dan vaksin itu disimpan di Hospital Melaka sebelum diagihkan ke 24 PPV merangkumi tiga hospital dan 21 klinik kesihatan di Melaka.

Suntikan vaksin di Melaka dijangka bermula 2 Mac depan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan petugas barisan hadapan.

Di TERENGGANU kira-kira 15,000 dos vaksin bagi fasa pertama akan diterima di negeri itu dengan proses suntikan bermula pada Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau akan menjadi individu pertama di negeri ini yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 berkenaan.

Beliau berkata, suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa pertama itu juga akan melibatkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN yang dilantik memandangkan mereka juga berisiko tinggi kerana kerap menyantuni orang ramai.

Di KELANTAN, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sepasukan anggota dikerahkan membawa vaksin Covid-19 itu pada Rabu untuk dibekalkan kepada 3,922 anggota keselamatan di negeri itu

Bagi fasa pertama suntikan vaksin petugas barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan, akan melibatkan seramai 1,430 pegawai serta anggota polis yang bertugas di lapangan.

Di PERAK, vaksin Comirnaty dari PSV Bayan Lepas, Pulau Pinang tiba di Hospital Taiping; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; Hospital Angkatan Tentera Lumut dan Hospital Teluk Intan pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bekalan vaksin fasa pertama itu akan digunakan untuk 33,000 petugas barisan hadapan di Perak termasuk 10,924 anggota dan pegawai polis negeri, dengan 3,000 polis dijangka menerima suntikan bermula 1 Mac ini.

Sementara di PAHANG pula, 23,400 daripada peruntukkan sejumlah 64,350 dos vaksin untuk 32,175 petugas barisan hadapan fasa pertama, tiba di negeri berkenaan pada Rabu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penghantaran pertama vaksin itu telah diagihkan kepada lima PSV iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebanyak 9,360 dos, Hospital Kuala Lipis (4,680 dos), Hospital Temerloh (4,680 dos),Hospital Rompin (3,510 dos) dan Hospital Bentong (1,170 dos).

“Sebanyak 23,400 dos vaksin yang diterima hari ini bagi kegunaan suntikan kepada 11,700 petugas barisan hadapan dan secara keseluruhan kita ada enam penghantaran bagi fasa pertama ini yang semuanya akan dijalankan secara berperingkat,” katanya yang turut memaklumkan proses suntikan di Pahang bermula Jumaat ini.

Di PERLIS, bekalan vaksin tiba di PSV negeri itu kira-kira jam 2 petang Rabu dan difahamkan 740 anggota polis daripada 8,000 petugas barisan hadapan akan menerima suntikan vaksin fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi negeri itu.

Di MELAKA pula, 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) di Kem Terendak di sini menerima 2,340 daripada 8,190 dos vaksin di Hospital Melaka untuk kegunaan 1,170 anggota tentera. - Bernama