AGC bantah permohonan dua NGO cabar hantar pulang pelarian Myanmar

AGC membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman dua NGO bagi mencabar keputusan kerajaan menghantar pulang 1,200 pelarian Myanmar ke negara asal.
AGC membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman dua NGO bagi mencabar keputusan kerajaan menghantar pulang 1,200 pelarian Myanmar ke negara asal.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman dua badan bukan kerajaan (NGO) bagi mencabar keputusan kerajaan Malaysia untuk menghantar pulang 1,200 pelarian warganegara Myanmar ke negara asal.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Ahmad Hanir Hambaly berkata, pihaknya memaklumkan kepada mahkamah bahawa bantahan itu dibuat kerana Seksyen 59A Akta Imigresen 1959 tidak membenarkan semakan kehakiman kecuali atas alasan kegagalan mematuhi sebarang prosedur yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

"Pemohon juga bukanlah pihak yang terkesan dengan keputusan responden (kerajaan Malaysia) untuk menghantar warga Myanmar itu pulang ke negara asal mereka," katanya ketika dihubungi pemberita.

Pada Rabu ditetapkan untuk pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman menerusi prosiding dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya yang turut disertai SFC S. Narkunavathy, SFC Mohd Sabri Othman, serta peguam yang mewakili pemohon iaitu Datuk Ambiga Sreenevasan dan Datuk Dr Gurdial Singh.

Ahmad Hanir berkata, mahkamah juga memaklumkan bahawa perintah penggantungan sementara untuk menghantar pulang kesemua pelarian itu ke negara asal disambung sehingga keputusan bantahan diputuskan pada 9 Mac ini.

Pada Selasa, Hakim Mariana membenarkan permohonan dua NGO selaku pemohon untuk mendapatkan perintah penggantungan sementara bagi menghalang kerajaan Malaysia menghantar pulang warga Myanmar itu ke negara asal.

Selain menamakan kerajaan Malaysia selaku responden ketiga, kedua-dua pemohon turut menamakan Ketua Pengarah Imigresen dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden pertama dan kedua.

Pemohon mendakwa jika kesemua warga Myanmar itu dihantar pulang ke negara asal, mereka akan mengalami ancaman dan bahaya terhadap nyawa mereka berikutan trend kerajaan atau tentera Myanmar yang didakwa mendiskriminasi dan mengancam komuniti Muslim di negara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan media pada Selasa, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 1,086 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan di depot Imigresen di seluruh negara sejak tahun lalu dihantar pulang melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

Program penghantaran pulang itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia khususnya TLDM, Pasukan Petugas Kebangsaan dan pihak Kedutaan Myanmar. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 1,086 PATI warga Myanmar dihantar pulang