X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin Covid-19 terbukti selamat

Hantaran Ir Khairil Nizam di Facebook beliau pada Rabu.
A
A

SHAH ALAM - Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech terbukti dijamin selamat, tidak memudaratkan dan tidak mempunyai mikrocip yang boleh mengambil alih kawalan pemikiran manusia serta bukan salah satu daripada agenda iluminati yang akan membentuk ‘New World Order’.

Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, buktinya dapat dilihat daripada komitmen yang ditunjukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta petugas barisan hadapan yang menerima vaksin itu pada Rabu.

"Tahniah saya ucapkan kepada Tan Sri Muhyiddin yang telah menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 diikuti Tan Sri Dr Noor Hisham bersama petugas barisan hadapan yang menerima suntikan Covid-19 pada hari ini.

"Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dijadualkan berlangsung bermula hari ini sehingga Februari tahun depan," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Beliau menegaskan, Pemuda Pas juga berdiri teguh bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menerima vaksin Covid-19.

Menurutnya, Bank Dunia telah meramalkan bahawa ekonomi Malaysia akan kembali berkembang pada kadar 6.7 peratus tahun ini.

"Prestasi ekonomi yang memberangsangkan ini sangat bergantung kepada program vaksinasi yang telah diusahakan oleh pihak kerajaan.

"Kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan penting bagi memastikan unjuran pemulihan ekonomi dapat direalisasikan," katanya.

Ir Khairil Niza memberitahu, sekiranya program vaksinasi itu berjalan dengan baik sehingga 80 peratus, rakyat Malaysia yang dewasa berjaya mengambil suntikan vaksin, kerajaan dapat memastikan sasaran Malaysia membentuk imuniti berkelompok berjaya dicapai seterusnya membendung penularan virus Covid-19.

"Saya juga seperti anda semua, ingin kembali kepada kehidupan normal kita sebelum diserang Covid-19.

"Marilah sama-sama kita daftarkan diri kita untuk menerima vaksin Covid-19 melalui pelbagai kaedah yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Bukan sekadar untuk melindungi diri kita bahkan untuk kita lindungi semua," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!