Tiada syarikat mohon guna produk berasaskan ganja

Dr Lee Boon Chye. - Foto Bernama
Dr Lee Boon Chye. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada syarikat yang memohon dengan Kementerian Kesihatan setakat ini untuk didaftarkan sebagai syarikat yang menggunakan produk berasaskan ganja untuk tujuan perubatan, kata Timbalan Menteri berkenaan, Dr Lee Boon Chye.

“Bertahun-tahun dahulu ada sebuah syarikat asing yang berdaftar dengan kementerian untuk mengimport produk berkenaan.

“Tetapi saya rasa syarikat itu tidak memperbaharui lesen. Jadi buat masa sekarang belum ada,” katanya selepas melancarkan platform dalam talian ‘OurCheckup’ di sini, hari ini.

Dr Boon Chye berkata, penggunaan produk kesihatan yang berasaskan ganja perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada kementerian sebelum boleh dipasarkan secara terbuka.

“Mereka yang ingin menggunakan produk berasaskan ganja mesti mengemukakan formula itu kepada bahagian farmasi untuk didaftar sebagai ubat sebelum boleh digunakan.

“Apabila permohonan dikemukakan, bahagian farmasi akan mempertimbangkan sama ada formulasi itu berkesan dan selamat mengikut indikasi yang ditetapkan sebelum diluluskan untuk kegunaan,” jelas beliau.

Bernama semalam melaporkan bahawa Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Nadzim Johan telah meminta pihak berkuasa untuk menerima penggunaan produk berasaskan ganja yang diimport untuk tujuan perubatan.

Terdahulu Dr Boon Chye melancarkan OurCheckup yang dibangunkan oleh iHeal Group Sdn Bhd sebuah repositori data dalam talian yang menyimpan data kesihatan yang dikumpulkan melalui peranti pengumpulan data. - Bernama

Artikel Berkaitan: