Suspek bunuh warga emas direman tujuh hari

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Suspek yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh lelaki warga emas orang kelainan upaya (OKU) bisu yang ditemukan di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti di sini dibenarkan direman bermula Rabu.

Proses reman suspek berusia lingkungan 30-an dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, selepas dia dimasukkan ke hospital akibat tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Mac ini.

Katanya, proses bedah siasat ke atas mayat warga emas dikenali sebagai Chua Hock Soon @ Chua Leok Eng, 73, telah selesai namun punca kematian masih disiasat.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ahmad Shukri berkata, siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja positif dadah jenis methamphetamine.

"Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal berusia 63 tahun yang dilanggar suspek ketika melarikan diri selepas meninggalkan mayat mangsa di hadapan sekolah dilaporkan cedera parah," katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan mayat seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun dengan kesan cedera parah di leher ditemukan di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa yang dipercayai dibuang di hadapan sekolah berkenaan selepas dibunuh di lokasi lain ditemukan orang awam kira-kira jam 6.30 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat warga emas ditemukan dengan kesan cedera di leher