IP Malaysia catat 108.8 mata pada Disember 2020

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

SHAH ALAM - Indeks Pelopor (IP) Malaysia mencatatkan 108.8 mata pada Disember 2020 daripada 101.6 mata pada Disember 2019 kekal pada pertumbuhan tahunan 7.1 peratus sejak November 2020.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perkembangan IP tersebut didorong oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia, Indeks Penjagaan Kesihatan dan Indeks Pengangkutan dan Logistik sebagai penyumbang.

Sebaliknya, IP menunjukkan penurunan negatif 0.3 peratus dari segi perubahan peratusan bulanan.

“Prestasi yang lebih perlahan dipengaruhi oleh penurunan yang signifikan dalam Penawaran Wang Benar, M1 pada negatif 1.0 peratus pada bulan yang dikaji,” katanya pada Rabu

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, kerajaan memberikan respons secara proaktif melalui pengumuman pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) untuk memperkuatkan inisiatif semasa sedia ada.

Respons tersebut mengambil kira prestasi IP dan perlaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menjangkakan prospek ekonomi yang lebih baik pada bulan-bulan hadapan.

Jangkaan positif itu selari dengan ramalan oleh agensi tempatan dan antarabangsa yang menjangkakan keadaan ekonomi yang lebih baik tahun ini.

Dalam pada itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi ekonomi semasa, meningkat 1.2 peratus untuk mencapai 113.7 peratus pada Disember 2020 daripada 112.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

“Semua komponen IS menyumbang secara positif terutama Indeks Pengeluaran Perindustrian pada 0.4 peratus.

“Pertumbuhan ini didorong oleh Indeks Pembuatan dengan sumbangan utama daripada sub-sektor Kelengkapan Pengangkutan dan Pembuatan Lain (8.4 peratus), Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik (7.7 peratus) dan Produk Peralatan Elektrik dan Elektronik (7.6 peratus).

“IS menunjukkan trend yang lebih baik dengan mencatatkan negatif 1.4 peratus pada bulan rujukan daripada 2.3 peratus pada November 2020 dari tahun ke tahun,” katanya.

Sehubungan itu, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 fasa kedua melibatkan temu ramah secara bersemuka telah disusun semula.

Orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci boleh mengambil peluang untuk mengisi maklumat banci secara dalam talian (e-Census) yang dibuka semula.

Pada Rabu, Jabatan Perangkaan Malaysia menerbitkan Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi Disember 2020.