Dipenjara sehari, denda RM20,000 terima rasuah

Zamira ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Rabu.
Zamira ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang Penolong Pegawai Seni Bina Jabatan Konservasi dihukum penjara sehari dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth pada Rabu atas lima tuduhan salah guna kuasa untuk meluluskan permohonan tukar guna tanah.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Zamira Juneed, 38, mengaku bersalah bagi semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Zamira yang berkhidmat di Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) didakwa menerima rasuah dari lima syarikat sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses permohonan tukar guna dari kediaman kepada hotel.

Semua perbuatan itu membabitkan jumlah RM16,800 dibuat di Maybank Cawangan Butterworth antara 14 Januari 2015 sehingga 22 September 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia akan dibuang kerja, selain perlu membantu menanggung kos pembedahan jantung suaminya.

Zamira juga memberitahu suaminya turut diberhentikan kerja pada September lalu akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Saya mempunyai dua anak yang berumur 12 dan 10 tahun. Saya memohon maaf atas kekhilafan saya.

“Saya harap tidak dipenjarakan dan hanya didenda dengan jumlah yang minimum,” katanya

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini.