X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang tidak terima arahan larang kumpul maklumat nelayan

Ahmad Zakiyuddin
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak menerima injuksi, perintah sekatan atau arahan berhenti kerja bagi melarang proses pengumpulan maklumat nelayan yang terlibat dengan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, proses rayuan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dibuat Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) tidak akan menjejaskan kerja pengumpulan maklumat nelayan.

"Ada pihak yang mendakwa projek PSR tidak harus berjalan selagi rayuan kelulusan laporan EIA masih belum selesai. Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa proses rayuan tidak akan menjejaskan kerja dijalankan.

"Sehingga kini, kita tidak menerima injuksi, perintah sekatan atau arahan berhenti kerja (stop work order) yang melarang proses pengumpulan maklumat nelayan," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada Rabu.

Pengerusi Pen Mutiara, Mahadi Md Rodzi sebelum ini mempersoalkan sama ada kerajaan negeri ingin mencabar atau sebaliknya terhadap keputusan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan bahawa projek tersebut tidak boleh dimulakan selagi isu berkaitan EIA tidak diselesaikan.

Katanya, pengumuman kerja menambak itu dilihat seolah-olah kerajaan negeri berada dalam keadaan terdesak untuk mempengaruhi dan meyakinkan kelompok nelayan tertentu supaya menerima sagu hati yang ditawarkan.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, pihaknya kesal dengan tindakan mereka yang terlibat menyebabkan kekeliruan dan ketakutan kepada nelayan sehingga maklumat sebenar tidak diterima.

Lebih mengecewakan, katanya, terdapat pihak tertentu telah mengugut nelayan dengan menyatakan nelayan yang berdaftar dengan kerajaan negeri tidak akan disokong untuk pembaharuan lesen perikanan dan permit bagi mendapat bantuan sara hidup.

"Selain itu, pelbagai maklumat Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) diputar belit, selain kenyataan berniat jahat telah disebarkan untuk menghalang nelayan daripada mendaftar maklumat mereka dan mewujudkan gambaran yang nelayan masih membantah projek PSR.

"Oleh demikian, saya menyarankan Ketua Unit Nelayan dari kawasan Selatan mengatur perjumpaan dengan kerajaan negeri bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat tepat serta mendengar pandangan dari mereka. Kerajaan negeri tiada halangan untuk menguruskan perjumpaan tersebut dengan syarat Ketua Unit Nelayan bersetuju untuk hadir ke sesi tersebut,'' katanya.

Ahmad Zakiyuddin berkata, seramai 423 daripada 1,615 nelayan sehingga 23 Februari lalu telah berdaftar dengan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) dalam memberi maklum balas yang baik terhadap SIMP.

"Mereka terdiri daripada tahap satu adalah dari kawasan Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul. Kerajaan negeri berharap nelayan dari sembilan unit di selatan Pulau Pinang untuk mendaftarkan maklumat mereka di PPSN.

"Kita juga berharap agar nelayan terlibat tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak bertanggungjawab. Kita mahu mendengar pandangan serta cadangan nelayan sendiri dengan hati terbuka," katanya.

Minggu lalu, kerajaan negeri mengumumkan kerja tambakan laut untuk PSR akan bermula hujung Mac hingga awal April ini selepas kelulusan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) diperolehi.

Kerja penambakan itu akan bermula secara berperingkat dengan fasa satu di Pulau A terlebih dahulu.

Kadar tambakan terkawal dijangka akan dijalankan pada keluasan 10.1 hektar sebulan yang mana ia mengambil masa tujuh tahun iaitu sehingga tahun 2027 untuk disiapkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!