Kereta terhumban dalam sungai: Mayat wanita dibawa keluar

Sebuah kereta terhumban ke Sungai Sarawak berdekatan Jambatan Gantung Satok.
Sebuah kereta terhumban ke Sungai Sarawak berdekatan Jambatan Gantung Satok.
A
A
A

KUCHING - Mayat seorang wanita yang berada di dalam kereta terhumban ke Sungai Sarawak berdekatan Jambatan Gantung Satok di sini berjaya dibawa keluar tengah hari Rabu.

Dua penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang mengeluarkan mangsa yang belum dikenal pasti identitinya kira-kira 12.57 tengah hari tadi, selepas berjaya mengesan kedudukan kereta jenis Perodua Kenari dipercayai dipandu mangsa itu tenggelam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak telah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira jam 10.30 pagi ini, namun pemanggil tidak dapat memastikan jumlah mangsa di dalam kenderaan terbabit.

Sejurus menerima panggilan itu, 14 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Pandungan telah dikerah ke tempat kejadian.

Satu video memaparkan kereta berwarna perak yang separuh terapung dengan dua orang individu di dalam sebuah perahu cuba mendekati kereta itu untuk menyelamatkan mangsa turut tersebar di media sosial.

Seorang daripada individu dalam perahu dikenali sebagai Bonnie berkata, dia melihat kenderaan berkenaan di dalam sungai ketika sedang bertugas membersihkan sampah sarap di sungai itu.

Bonnie dan rakannya bergegas untuk menyelamatkan mangsa yang berada di dalam kenderaan itu namun gagal kerana keempat-empat pintu dikunci dari bahagian dalam.

“Saya hanya melihat mangsa memberikan isyarat melarang saya untuk membantunya, saya juga tidak boleh berbuat apa-apa kerana tiada apa-apa peralatan untuk memecahkan cermin tingkap kereta itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga berusaha untuk menarik kenderaan itu namun tali yang digunakan untuk menarik itu putus dan hanya mampu melihat kenderaan itu tenggelam,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Superintendan Alexson Naga Chabu ketika dihubungi Bernama berkata, polis kini sedang mendapatkan maklumat berhubung kejadian berkenaan. - Bernama