Penipuan jualan barang online antara tertinggi di Selangor

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Penipuan transaksi pembelian barangan secara dalam talian menjadi antara penyumbang terbanyak kes yang dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor pada tahun ini.

Ketua Pegawai Peguatkuasa KPDNHEP negeri, Azman Adam berkata, rata-rata pengguna menjadikan medium laman web atau media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk membuat pembelian.

Menurutnya, mangsa yang sudah membuat pembayaran menerusi akaun bank bagaimanapun tidak memperoleh barang seperti yang dijanjikan.

"Selain tidak menerima kiriman pos barangan yang dijanjikan, penjual barang terbabit turut gagal dihubungi termasuklah dengan menutup akaun mereka.

"Sehingga semalam, sebanyak 110 laporan membabitkan kes sedemikian telah diterima daripada pengguna di negeri ini," katanya.

Azman berkata, statistik menunjukkan sebanyak 809 aduan kepenggunaan diterima pihaknya sejak awal tahun ini yang antaranya merangkumi sebanyak 364 aduan berkaitan harga, perkhidmatan mengelirukan (134) dan harga barangan atau perkhidmatan mahal (108).

"Sebanyak 110 aduan berkaitan transaksi atas talian rata-ratanya membabitkan barangan yang tidak diterima oleh mangsa," katanya.

Tambah Azman, siasatan sedang dijalankan terhadap setiap aduan terbabit.

"Kita turut menasihatkan pengguna untuk lebih berwaspada sekiranya mahu membuat tranksaksi online. Pengguna perlu merujuk kepada laman rasmi KPDNHEP atau saluran yang betul untuk mengadu mengenai barangan atau perkhidmatan yang tidak memuaskan berbanding daripada menyebarkannya di media sosial.