Agong zahir pandangan Parlimen boleh bersidang semasa darurat

Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, hari ini. -Foto Instagram Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, hari ini. -Foto Instagram Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau berkata, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa perkenan Seri Paduka Baginda kepada nasihat Perdana Menteri berkenaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat pada 12 Januari 2021 adalah semata-mata sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak Covid-19 yang telah meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau turut memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara pada Rabu.

Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda menegaskan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahu pun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Ahmad Fadil berkata, dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tata perlakuan Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas serta bertindak agar sentiasa bersifat mulia serta dipandang tinggi.

Menyentuh perkembangan terkini wabak Covid-19, Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta agensi kerajaan berkaitan atas usaha merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula pada Rabu dan dijangka mengambil masa sehingga beberapa bulan.

Artikel Berkaitan:

“Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu menerima suntikan vaksin Covid-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang menyasar untuk memberikan imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahu pun warga asing. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin individu pertama terima vaksin Covid-19 di Malaysia