X

Kindly register in order to view this article
!

Brek rosak, lori rempuh tiang lampu isyarat

Lori yang dipandu seorang lelaki merempuh tiang lampu isyarat selepas mengalami masalah brek.
A
A

BAYAN LEPAS - Polis mengesahkan lori yang nyaris merempuh tiga buah motosikal di lampu isyarat Jalan Dato Ismail Hashim, Persiaran Kelicap di sini mengalami masalah pada brek.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kejadian pada jam 4 petang Selasa itu, lori yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun itu melanggar tiang lampu isyarat dan pada masa sama ada kenderaan lain berhampirannya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika lori tersebut melalui Persiaran Kelicap dari arah Bayan Mutiara ke Bayan Lepas.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori tersebut mengalami masalah brek mengakibatkan pemandu lori hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu isyarat di jalan tersebut.

"Bagaimanapun, kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pemandu lori juga tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambahnya, akibat kejadian itu, lori tersebut mengalami beberapa kerosakan termasuk di bahagian hadapan manakala lampu isyarat juga rosak.

"Pemandu lori dari Bandar Baru, Teluk Kumbar ditahan untuk siasatan. Ujian saringan air kencingnya mendapati negatif dadah. Lori tersebut akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.

"Pemandu lori mempunyai lesen memandu yang sah selain lesen kenderaan bermotor (LKM) juga masih sah tempoh. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan sebuah lori nyaris merempuh tiga buah motosikal di persimpangan Persiaran Kelicap di sini sebelum merempuh tiang lampu isyarat di situ.

Kejadian tersebut berlaku di lokasi sama membabitkan sebuah bas persiaran yang datang dari arah Persiaran Kelicap menuju ke Bayan Lepas hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan.

Bas berkenaan kemudian merempuh sebuah lagi kereta yang dipandu seorang wanita bersama dua anaknya.

Tidak terhenti di situ apabila bas berkenaan merempuh sebuah motosikal yang diparkir di tepi jalan sebelum merempuh pula penunggang motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Bas berkenaan terus bergerak dan merempuh tembok batu pagar perumahan di kawasan berhampiran.

Akibat kejadian itu, seorang remaja berusia16 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta bersama dua anaknya yang mengalami cedera dikejarkan ke hospital.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!