Matrade lancar Program Peningkatan eTRADE 2.0 untuk PKS

Matrade - Foto Bernama
Matrade - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mempercepatkan eksport dan mengekalkan kehadiran mereka di peringkat global menerusi Program eTRADE 2.0 yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, ciri-ciri tambahan inisiatif pemudah cara eksport eTRADE yang dipertingkatkan itu adalah seperti aktiviti pemasaran digital dan latihan berkaitan eDagang.

“Dengan peningkatan saiz pasaran e-dagang global dan di sebalik sekatan perjalanan pada masa ini, tiada masa yang lebih baik bagi PKS Malaysia untuk memanfaatkan platform e-dagang bagi mengekalkan dan mempercepatkan eksport mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Di bawah Program e-TRADE 2.0, PKS Malaysia akan ditawarkan dua skim inisiatif pemudah cara eksport iaitu Skim Onboarding dan Skim Pemasaran Digital dan Latihan (DMT) yang dilancarkan oleh Mohd Mustafa ketika sesi Hari Konsultasi eTRADE oleh MATRADE secara maya pada Rabu.

Menerusi Skim Onboarding itu, PKS yang memenuhi syarat layak menggunakan hingga RM5,000 setiap syarikat dalam bentuk bayaran balik untuk perbelanjaan mereka yang digunakan dalam platform e-dagang rentas sempadan pilihan mereka.

PKS juga dibenarkan menyertai pelbagai platform di bawah Skim Onboarding, sekali gus membolehkan mereka mempunyai lebih banyak pilihan platform e-dagang yang sesuai dengan keperluan dan pasaran sasaran mereka.

Sementara itu, bagi Skim DMT, PKS yang memenuhi syarat akan menerima sehingga RM20,000 setiap syarikat dalam bentuk bayaran balik untuk perbelanjaan yang digunakan bagi aktiviti pemasaran digital untuk mempromosi produk mereka di luar negara serta program latihan e-dagang berkaitan yang dipilih mereka.

Aktiviti-aktiviti berkenaan yang termasuk di dalam dua skim tersebut memperlihatkan komitmen Matrade untuk merealisasikan aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) kerana eTRADE 2.0 adalah selaras dengan Teras 2: Meningkatkan Daya Saing Ekonomi Melalui Digitalisasi.

Artikel Berkaitan:

PKS Malaysia boleh memohon program ini mulai 1 Mac 2021. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.matrade.gov.my/en/etrade. - Bernama