KPM digesa haramkan buku teks Sejarah Tingkatan Empat

Ahmad Maslan berkata, penerbitan buku tersebut satu perbuatan jenayah dan mesti diharamkan.
Ahmad Maslan berkata, penerbitan buku tersebut satu perbuatan jenayah dan mesti diharamkan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa mengharamkan segera buku teks Sejarah Tingkatan Empat yang didakwa memanipulasikan fakta.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penerbitan buku tersebut satu perbuatan jenayah dan mesti diharamkan.

Beliau berkata, menurut kenyataan Sekretariat Gabungan NGO, kandungan buku teks tersebut mengandungi fakta yang boleh memberi kesan negatif kepada pelajar berkaitan sejarah negara.

“Antaranya ialah bab dua (pada buku itu) menerangkan tentang gerakan nasionalisme sedunia kemudian memperincikan gerakan nasionalisme kiri zaman pramerdeka di Tanah Melayu yang prokomunis.

“Banyak perkara yang diketepikan dan disembunyikan dalam sejarah politik Tanah Melayu terutamanya pada tahun 1945 sehingga 1948.

"Tokoh-tokoh besar pejuang kemerdekaan yang terdiri daripada golongan agamawan, persatuan-persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu yang disatukan oleh UMNO tidak diberi pendedahan yang wajar,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau pada Rabu.

Ahmad berkata, fakta dalam buku teks tersebut menanamkan benih bahawa fahaman sosialis dan komunis tidak buruk sebagaimana yang difahamkan selama ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, fakta yang terkandung dalam buku teks itu turut memberi kesan pendoktrin secara halus kepada pelajar bahawa komunis juga memperjuangkan kemerdekaan.

"Sehubungan itu, buku tersebut tidak mengandungi perjuangan orang Melayu dan mengurangkan semangat patriotisme dan cintakan negara," kata beliau.

Sebelum ini, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) membuat satu laporan polis di Shah Alam mendakwa buku teks berkenaan diisi dengan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Selain itu, mereka mendakwa kandungan buku teks berkenaan mengangkat tokoh gerakan kiri nasionalis Melayu radikal dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam perjuangan kemerdekaan.