X

Kindly register in order to view this article
!

Ketibaan vaksin Covid-19 di Kedah berjalan lancar

Ketibaan vaksin Covid-19 melalui Plaza Tol Alor Setar (Utara) diiringi PDRM pada Rabu.
A
A

ALOR SETAR - Ketibaan vaksin Covid-19 dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di Bayan Lepas, Pulau Pinang ke Kedah pada Rabu berjalan lancar dengan diiring ketat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, Polis Kedah bersedia memastikan jaminan keselamatan bagi setiap pergerakan vaksin Covid-19 ke lokasi simpanan vaksin di negeri ini.

Katanya, bagi ketibaan kumpulan pertama, seramai 15 pegawai polis terlibat dalam mengiringi vaksin tersebut daripada PSV di Bayan Lepas, Pulau Pinang ke Kedah melibatkan aset PDRM seperti motosikal berkuasa tinggi dan kereta peronda polis.

"Pada hari ini, kita mengiringi vaksin ke dua lokasi simpanan di Kota Setar dan Sungai Petani, manakala iringan vaksin melalui Perlis ke Langkawi akan dilakukan menggunakan perkhidmatan feri Roll on-Roll Off (Roro) pada Khamis.

"Setibanya vaksin di Kota Setar dan Sungai Petani, polis akan mempertingkatkan tahap keselamatan di dua lokasi simpanan," katanya kepada pemberita selepas ketibaan vaksin Covid-19 melalui Plaza Tol Alor Setar (Utara), di sini pada Rabu.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir.

Katanya, iringan keselamatan membawa vaksin Covid-19 dari PSV Bayan Lepas ke lokasi simpanan di Langkawi juga akan melibatkan 15 pegawai polis.

Katanya, seramai 27 pegawai polis secara statik dan balai polis bergerak ditempatkan untuk kawalan keselamatan di lokasi pusat penyimpanan vaksin meliputi daerah Kota Setar, Sungai Petani dan Langkawi.

Menurut Mohd Roze, sembilan anggota dan pegawai termasuklah anggota balai polis bergerak akan diletakkan di tiga lokasi simpanan berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan anggota seramai 27 orang untuk kawalan keselamatan.

Tambah beliau, pihaknya akan meneruskan kawalan keselamatan di tiga lokasi simpanan vaksin di Alor Setar, Sungai Petani dan Langkawi sehingga proses suntikan vaksin Covid-19 di 14 lokasi terpilih selesai.

Dalam perkembangan sama, Mohd Roze berkata, seramai 5,572 anggota dan pegawai polis di Kedah juga bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat nanti.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seramai 1.76 juta penduduk Kedah dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat bermula 28 Februari ini untuk fasa pertama ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!