X

Kindly register in order to view this article
!

Penghantaran pertama 23,400 dos vaksin Covid-19 tiba di Pahang

Wan Rosdy bersama beberapa Exco menyambut ketibaan kenderaan membawa dos vaksin Covid-19 di HTAA, Kuantan pada Rabu.
A
A

KUANTAN - Penghantaran pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech sebanyak 23,400 dos tiba di Pahang pada Rabu.

Penghantaran itu merupakan sebahagian daripada enam penghantaran di bawah fasa satu program vaksinasi Covid-19 untuk petugas barisan hadapan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada 23,400 dos vaksin pada penghantaran pertama itu, 9,360 dos dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Menurutnya, turut menerima penghantaran vaksin itu, Hospital Lipis (4,680 dos); Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh (4,680 dos); Hospital Muadzam Shah, Rompin (3,510 dos) dan Hospital Bentong (1,170 dos).

Menurutnya, kesemua 23,400 dos itu akan melibatkan suntikan yang bakal diberi kepada 11,700 petugas barisan hadapan di negeri ini.

"Setiap petugas barisan hadapan akan menerima dua dos dengan jarak masa 21 hari atau tiga minggu selepas suntikan dos pertama," katanya.

Wan Rosdy hadir menyambut ketibaan dos vaksin itu di HTAA, di sini.

Katanya, selepas penghantaran pertama, ada lagi lima penghantaran akan dilakukan di bawah fasa satu.

"Keseluruhan enam penghantaran melibatkan 64,350 dos untuk suntikan ke atas 32,175 petugas barisan hadapan di seluruh Pahang.

"Jumlah itu meningkat daripada jangkaan awal sebelum ini, seramai 28,000 orang," katanya.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pertambahan bilangan petugas barisan hadapan, tambahan itu akan menerima suntikan masing-masing di bawah fasa dua.

"Suntikan fasa dua juga melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta penghidap penyakit kronik," katanya.

Wan Rosdy berkata, keutamaan kini diberikan kepada aspek keselamatan berkaitan penyimpanan dos-dos vaksin tersebut.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!