Vaksin Covid-19: Rancangan pemulihan ekonomi negara di landasan tepat

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rancangan pemulihan ekonomi Malaysia berada di landasan yang tepat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula 24 Februari, 2021, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, pemulihan ekonomi sudah tentunya akan menyusul bersama dengan pemulihan kesihatan awam.

Tengku Zafrul berkata, banyak sektor ekonomi yang menanti pembukaan sempadan bukan sahaja dalam negara malah ke luar negara, seperti sektor pelancongan dan peruncitan.

“Bagi mereka daripada sektor pelancongan, manfaatkanlah peruntukan Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana sebanyak RM1 bilion bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro yang masih terkesan dengan Covid-19,” katanya semasa membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-42 pada Rabu.

Beliau berkata, Bank Dunia telah mengumumkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 5.6 - 6.7 peratus bagi 2021 susulan pelancaran program vaksinasi Covid-19 secara global dan ini sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada kadar empat peratus.

“Minggu lepas menyaksikan pelbagai detik bersejarah bagi negara kita. Saat yang paling ditunggu-tunggu sudah pastinya ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 ke tanah air.

“Ketibaan ini menandakan bermulanya Fasa 1 Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) di mana 500,000 petugas barisan hadapan akan divaksinasikan menjelang April tahun ini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga menyasarkan 80 peratus atau 27 juta penduduk Malaysia akan divaksinasikan menjelang suku pertama 2022 bagi mencapai imuniti kelompok. - Bernama

Artikel Berkaitan: