Ahli UMNO perlu contohi sikap wala' Pas

PAU 2020 dijangka diadakan secara maya pada Mac ini. Gambar kecil: Rizam Ismail
PAU 2020 dijangka diadakan secara maya pada Mac ini. Gambar kecil: Rizam Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ahli UMNO kena mencontohi semangat perjuangan ahli Pas yang mementingkan sifat wala' kepada kepada kepimpinan parti dalam menyelesaikan masalah perbezaan pandangan sesama mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rizam Ismail berkata, majlis Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang diadakan semula bulan hadapan wajar dijadikan medan UMNO untuk belajar mendisiplinkan ahli parti, termasuk ahli-ahli Parlimen.

Menurutnya, kekuatan UMNO selaku parti keramat kaum Melayu bukan hanya terletak kepada pengaruh seorang atau dua ahli parti, sebaliknya melalui solidariti utuh terbina daripada keseluruhan 3.8 juta ahli.

"Semua ahli UMNO di setiap peringkat, termasuk ahli-ahli Parlimen, selagi individu itu berada dalam parti maka ia harus belajar berdisiplin dan wala' kepada kepimpinan parti.

"Kena ikut macam Pas, kena ada disiplin. Ini kerana dengan disiplin sahaja dapat memastikan parti akan menjadi kuat. Kalau kita ada pasukan besar tetapi tiada disiplin, kita tetap akan lemah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas teka-teki di sebalik keputusan mesyuarat MKT UMNO pada Jumaat lalu yang sehingga kini masih belum dijelaskan pucuk kepimpinan parti secara rasmi.

Susulan mesyuarat berkenaan, terdapat beberapa sumber UMNO mendakwa badan tertinggi pari itu sudah membuat ketetapan untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Bagaimanapun, terdapat sumber memaklumkan bahawa Ahmad Zahid telah menggunakan kuasa veto sebagai Presiden UMNO untuk menolak cadangan sebahagian ahli MKT UMNO meneruskan kerajaan PN bagi mengelakkan berlaku pertembungan tiga penjuru.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO kemudiannya menafikan laporan berita berkenaan dan memandang serius dakwaan itu.

Terkini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan mesyuarat PAU yang ditangguhkan pada bulan Januari, kembali diadakan pada 27 dan 28 Mac hadapan secara maya.

Mengulas lanjut, Rizam menegaskan semua ahli UMNO harus bersabar dalam menantikan keputusan mesyuarat MKT parti yang sebenarnya mengambil kira semua sudut sebelum diumumkan.

Jelas beliau, agenda paling utama perlu ditumpukan ahli-ahli UMNO adalah mengukuhkan solidariti antara mereka dengan memastikan semua individu duduk di bawah satu kapal.

"Sebab itu, aspek disiplin menjadi keutamaan kerana rakyat akan terus terkeliru bila pemimpin tiada disiplin dan membuat keputusan berpandukan kehendak 'tauke' masing-masing.

"Simptom UMNO tidak lagi menjadi kerajaan mungkin menyumbang kepada berlakunya perbezaan pendapat. Namun sekiranya semua pihak memainkan peranan mengikut hierarki masing-masing, keutuhan parti mampu terus dipelihara," katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin bersetuju dengan pandangan segala ketetapan MKT harus dipatuhi semua ahli UMNO tidak kira sama ada ahli Parlimen atau ahli biasa.

Ujarnya, segala keputusan MKT adalah atas kebijaksanaan pemimpin tertinggi parti setelah memperhalusi segala pandangan dan keresahan akar umbi.

"Berbeza pandangan itu biasa dalam parti. Mungkin ada tidak puas hati dengan keputusan dibuat, tetapi disiplin kepada parti perlu diikuti.

"Mengenai dasar parti, saya fikir langkah terbaik adalah ia perlu ditentukan pada medan PAU 2020.

"Di situlah segala perbincangan dan perbahasan di peringkat akar umbi akan diangkat terus kepada pengetahuan pucuk kepimpinan parti," katanya.